KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penganggur memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Mohamad Azlan Ibrahim, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum ini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Azlan didakwa menerusi aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Iman Mustaqim’, telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 28 Ogos lalu.
Hantaran itu dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada jam 11.57 pagi, 29 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu yang sakit.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh telah menghina Institusi Diraja sedangkan ia kesalahan yang serius.
"Mahkamah juga perlu mengambil kira kesalahan yang dilakukan telah menimbulkan kemarahan masyarakat, kerana mengganggu keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah, atas tuduhan gagal memberi kata laluan aplikasi Facebook miliknya, di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 242 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan, jika gagal membayar denda itu.
Pada 31 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap Institusi Diraja.