Polis tahan warga Bangladesh miliki rokok tanpa cukai

Iklan
rokok

KULIM - Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana memiliki rokok berjenama tanpa cukai di tepi Jalan Kampung Sidam Kanan pada 9 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Nor berkata, lelaki berkenaan ditahan anggota polis dari Balai Polis Padang Serai semasa ronda cegah jenayah pada jam 10 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek berusia 25 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika sedang memandu kereta jenis Proton Saga BLM berwarna hitam.

"Ketika ditahan, suspek gagal mempamerkan dokumen identiti diri serta tidak mempunyai lesen memandu.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 karton rokok berjenama tanpa ada setem tandaan cukai dengan setiap satu mengandungi 10 kotak rokok di dalam but kereta berkenaan," katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan hasil pemeriksaan lanjut lelaki itu belum mempunyai rekod jenayah.

Iklan

"Saya minta orang tempatan supaya tidak sewenang-wenangnya memberi pinjam kenderaan kepada warga asing tanpa mengetahui apakah tujuannya dan adakah dia ada lesen memandu.

"Pemilik kereta semasa siasatan polis mempunyai liabiliti atas peminjaman ini," katanya.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 135 Akta Kastam dan Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.