BUKIT BERUNTUNG - Pesakit kanser darah tahap tiga yang kini terlantar merayu bantuan perubatan berjumlah RM135,942 bagi menampung kos rawatannya.
Muhammad Azizi Abdul Aziz juga resah memikirkan baki kos sebanyak RM85,942 yang masih belum mencukupi.
Bapa kepada empat anak itu berkata, kos sebenar rawatan kimoterapi berjumlah RM115,942 tetapi RM30,000 dibiayai Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Cawangan Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HTCM), Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Bantuan tersebut dapat menampung dua sesi kimoterapi sahaja dan bakinya perlu ditanggung sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Apartmen Teratai di sini semalam.
Katanya, selepas selesai lapan sesi kimoterapi, dia perlu menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum membabitkan kos RM50,000.
"Situasi ini menyebabkan saya memohon bantuan orang ramai selain memikirkan nasib isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Muhammad Azizi berkata, dia bekerja sebagai penolong pengurus bahagian latihan di syarikat Perodua dekat Sungai Choh sejak 25 tahun lalu.
Menurutnya, sakit bahagian belakang yang semakin teruk pada Disember tahun lepas mendorongnya mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Tawakal, Jalan Pahang.
"Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan kewujudan ketumbuhan tumor pada tulang belakang. Ketika itu, saya menunjukkan surat jaminan (GL) Perodua tetapi sudah melebihi had maksima dan saya meminta dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.
Selepas tiga minggu di wad untuk pemeriksaan lanjut katanya, dia dibenarkan pulang dan disahkan menghidap kanser darah.
Muhammad Azizi memberitahu, dia kemudiannya perlu hadir ke hospital selepas Tahun Baharu Cina tapi namun terpaksa mendapatkan rawatan awal kerana di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana mengalami sakit belakang yang kiritikal.
"Sel barah telah merebak ke tulang bahagian belakang, tengkorak, rusuk, bahu, dada dan rahang," katanya.
Muhammad Azizi berkata, isterinya, Halimaton Buyong, 47, tidak bekerja manakala anak sulung berusia 14 tahun manakala tiga lagi anak masing-masing berusia 12, 10 dan tujuh tahun.
Menurutnya, cuti sakit selama 90 sudah habis digunakan dan kini pihak majikan memberikan cuti sakit berbayar.
"Cuti sakit ini dalam tempoh dua tahun dengan enam bulan pertama gaji dibayar penuh dan enam bulan kemudian gaji separuh dan bulan selebihnya tiada bayaran gaji," katanya.
Bagaimanapun katanya, enam bulan pertama akan berakhir pada Oktober ini dan dia Muhammad Azizi nekad memulakan tugas bagi membolehkan keluarganya mendapat sumber kewangan.
Muhammad Azizi berkata, dia sudah memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan pernah didatangi satu persatuan dipercayai bukan Islam untuk membantu namun dengan syarat tertentu.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank CIMB bernombor 12330009882529 atas nama Muhammad Azizi.