Yapiem nafi guna duit anak yatim

Iklan
Keratan Sinar Harian hari ini.

SHAH ALAM - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menafikan dakwaan dana RM1 juta yang dikhususkan bagi membantu anak-anak yatim telah disalahgunakan bagi tujuan membayar yuran guaman pada 2017.

Ketua Jabatan Penasihat Peundangan Yapeim, Adawiyah Abdul Samad berkata, wang tersebut diambil daripada dana am dan jumlahnya bukan seperti didakwa.

Iklan
Iklan

"Yapeim mempunyai dua dana iaitu am dan amal jariah, tetapi wang yang digunakan bagi tujuan yuran guaman diambil daripada dana am.

"Dakwaan RM1 juta telah disalahgunakan tidak benar dan ia adalah fitnah. Yuran guaman itu tidak diambil dari amanah atau dana anak yatim seperti didakwa," katanya memetik laporan portal Malaysiakini pada satu sidang media khas di sini hari ini.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan dana berkenaan didakwa disalahgunakan bagi membayar yuran guaman untuk Pengarah Yapeim yang juga pembantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut, Adawiyah berkata, penggunaan wang dari dana am itu juga telah diluluskan Lembaga Pemegang Amanah Yapeim.

Iklan

"Malah, dana am ini turut digunakan bagi membayar gaji dan bonus kakitangan.

"Dana ini adalah hasil keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan seperti hartanah dan (pelaburan) Ar-rahnu. Yapeim mempunyai 213 cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara," katanya.

Malah, beliau menegaskan itu tersebut tiada sebarang kaitan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Menyentuh isu Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin) yang merupakan anak syarikat Yapeim memfailkan saman kerana mendakwa yayasan itu menyalahgunakan dana mereka bagi menaja bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ke Eropah, Amerika Syarikat dan Australia pada 2017, Adawiyah menjelaskan, setahun sebelum itu, Yapeim memfailkan injuksi Mareva terhadap Pemangkin yang meninggalkan yayasan itu dengan dana berjumlah RM2.2 juta.

"Injuksi Mareva merupakan injuksi sementara bertujuan membekukan aset sementara menunggu penyelesaian mahkamah," katanya.

Berdasarkan rekod, saman tersebut Pemangkin terhadap Yapeim ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu.

Difahamkan, ahli lembaga pemegang amanah yang baharu dilantik April lalu memutuskan untuk menyelesaikan kes dengan Pemangkin di luar mahkamah.

Kelmarin, Najib menerusi hantaran di Facebook membidas penggunaan gambar dan nama beliau dalam isu tersebut seperti dilaporkan sebuah portal berita berkaitan dan menyifatkan ia sebagai propaganda jahat bagi merosakkan imejnya.