JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), dijadual mempengerusikan beberapa siri mesyuarat dengan negara-negara rakan kongsi pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini pada Rabu, lapor agensi berita ANTARA.
Biro Akhbar, Media, dan Penerangan Sekretariat Presiden di Jakarta menyatakan bahawa aturcara Presiden Jokowi bermula dengan pertemuan dua hala dengan Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin, di Bilik Kakatua, JCC.
Presiden Jokowi seterusnya dijadual mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-China yang dihadiri oleh pemimpin negara-negara ASEAN bersama Perdana Menteri China (PRC), Li Qiang.
Jokowi mengetuai Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang ke-24 dan dihadiri oleh Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun yang ke-26 bersama-sama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
Selanjutnya, Jokowi bersama pemimpin negara-negara ASEAN dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) yang ke-26.
Mesyuarat itu akan diadakan di Bilik Cenderawasih 3 JCC, juga dihadiri oleh pemimpin-pemimpin China, Korea Selatan, dan Jepun.
Presiden Jokowi juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris.
Jokowi dan pemimpin-pemimpin negara kemudian akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang ke-11 di Bilik Cendrawasih di JCC.
Beliau akan meneruskan agendanya dengan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin negara ASEAN dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Presiden Jokowi dan Wanita Pertama Iriana bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin negara akan menghadiri majlis makan malam gala sebagai acara penutup hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-43. - Bernama