SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan mengeluarkan kelulusan khas bagi pemohon program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) yang menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini selepas tarikh 31 Disember lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, perkara tersebut adalah tidak benar apabila satu rakaman suara yang tular melalui mesej di aplikasi WhatsApp menyebarkan mengenai kelulusan khas itu.
Beliau berkata, rakaman suara yang tular itu mendakwa terdapat kelulusan khas akan diberikan hanya kepada 5,000 pemohon yang memasuki negara ini pada 2023.
"Pihak JIM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan memohon supaya orang ramai tidak terpedaya dengan taktik penipuan ejen atau orang tengah dalam perkara tersebut.
"Pihak jabatan tidak akan melaksanakan perkara ini kerana ia melanggar dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan semasa pelancaran program RTK 2.0 pada 27 Januari 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tegas beliau, dasar yang ditetapkan sebelum ini jelas menyatakan bahawa hanya warga asing yang menjadi PATI di negara ini sehingga 31 Disember 2022 sahaja yang layak dan akan dipertimbangkan untuk kelulusan RTK 2.0.
Sehubungan itu menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
"Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini," ujarnya.