JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan penting untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan di rantau ASEAN sambil mengukuhkan kerangka hubungan pelbagai hala antara ASEAN dan China.
Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di sini hari ini, beliau berkata, kerjasama pada masa akan datang akan banyak bergantung kepada kepercayaan dan perbincangan pelbagai hala mengenai keselamatan dalam mempertahankan kepentingan kedua-dua pihak.
"Saya ingin menyatakan bahawa kami begitu menghargai kehadiran anda dan semoga majlis ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara China dan ASEAN,” katanya.
Sidang Kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta dihadiri oleh pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China Li Qiang.
Anwar juga berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen China untuk menguatkuasakan satu masa hadapan bersama.
"Dalam ASEAN, kami menganggap China sebagai satu jiran yang penting, seorang rakan utama dalam perdagangan, pelaburan dan susun atur keselamatan,” katanya.
Perdana Menteri juga menyatakan keyakinannya dalam kemajuan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (FTA) 3.0, satu inisiatif bagi mengukuhkan dengan lebih ketara integrasi ekonomi serantau.
"Kami menantikan pengukuhan hubungan ini dan ia seharusnya bermula dengan ASEAN-China FTA 3.0. Saya tidak nampak banyak masalah kecuali untuk mempercepatkan proses itu,” katanya.
Anwar juga menekankan kepentingan menjalin hubungan yang lebih kukuh dalam bidang pertanian, terutamanya dalam mengatasi kebimbangan mengenai isu keterjaminan makanan dan meningkatkan sumber manusia menerusi inovasi, teknologi dan pendidikan teknikal.
"Malaysia menyambut baik kemunculan"ASEAN-China Year of People-to-People Exchange” pada 2024 untuk mengekalkan persahabatan berpanjangan dalam generasi akan datang,” katanya. - Bernama