KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan lebih 150,000 pengunjung sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) tahun ini yang akan diadakan di Bertam, Pulau Pinang.
Acara literasi kewangan tahunan berlangsung selama sembilan hari bermula 30 September hingga 8 Oktober itu turut disertai syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd, UMW Holdings Bhd dan SP Setia Bhd.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, MSAM diteruskan sebagai agenda tahunan sejak ia mula diperkenalkan pada 2000.
"Bertemakan ‘Bijak Melabur, Santai Berhibur’ selaras dengan aspirasi PNB untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, MSAM 2023 akan dianjurkan secara hibrid buat pertama kalinya,” katanya sempena majlis memperkenalkan Rakan Korporat MSAM 2023 di sini pada Selasa.
Pengunjung boleh melawat gerai pameran di Bertam dan juga menikmati kandungan digital secara langsung melalui halaman Facebook MSAM, https://www.facebook.com/MingguSahamAmanahMalaysia atau YouTube, https://www.youtube.com/@MingguSahamAmanahMalaysia.
Ahmad Zulqarnain berkata, elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) akan diterapkan dalam gerai pameran, aktiviti serta kandungan.
Menurutnya, selain Rakan Premier MSAM 2023, terdapat juga kategori rakan utama daripada Sime Darby Property Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MNRB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd dan Sime Darby Bhd.
Jelas beliau, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Duopharma Biotech Bhd pula adalah sebagai Rakan MSAM 2023.
Selain acara MSAM, program literasi kewangan lain oleh PNB dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ialah Sembang-Sembang ASNB dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan serta sektor swasta, universiti, kolej dan institut pendidikan guru untuk mendidik pekerja serta pelajar tentang perancangan kewangan.
Selain itu, pengunjung yang mendaftar dengan PNB Events App berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta seperti rumah teres setingkat di Setia Fontaines, Pulau Pinang; BYD Atto 3 Standard Range, Toyota Vios 1.5G AT, Perodua Axia 1.0L AV, Yamaha MT25 dan Apple iPhone 14 Pro Max.