KUALA LUMPUR - Satu gerakan bukan konvensional di Utara Pakistan dan Timur Tengah menjadi subjek perdebatan kerana dikatakan telah mencabar tradisi negara itu.
Felo Penyelidik Universiti Stockton New Jersey, Dr Husnul Amin berkata, ‘Gerakan Sosial Utara’ di Pakistan itu memperlihatkan sisi berbeza mereka dengan menekankan kebebasan individu, pergeseran budaya dan reformasi politik.
Menurutnya, gerakan tersebut kebiasaannya bercirikan mobilisasi atau pergerakan besar, struktur birokrasi dan matlamat serta agenda yang jelas.
"Ia bertentangan dengan anggapan bahawa kawasan-kawasan ini terdedah kepada keganasan. Gerakan Sosial Utara yang tidak ganas telah muncul dan memfokuskan isu identiti serta memperjuangkan hak perlembagaan," katanya ketika Persidangan Islam dan Kebebasan Antarabangsa (ILN) ke-10 di Hotel Concorde Kuala Lumpur pada Rabu.
Gerakan Sosial Utara dilihat sebagai contoh aktivisme terpencil iaitu amalan yang berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai tujuan politik merangkumi pelbagai bidang seperti budaya, agama, reformasi agama, politik, dan identiti.
Husnul menerangkan, aktivisme di Pakistan semakin meningkat melalui media dan bahan bacaan seperti buku, muzik serta acara kebudayaan.
Tambah beliau, kesannya berlaku apabila terdapat seorang tokoh berpengaruh yang tidak diberitahu namanya telah menyimpang daripada ideologi Islamik dan kini mempromosikan pembaharuan struktur parti Islam.
"Figura ini mencabar tafsiran yang ada, menyokong kesaksamaan jantina dan kebebasan politik. Pada masa sama, perkara ini telah membawa kepada perarakan wanita di Pakistan yang dikenali sebagai ‘Perarakan Kami’ demi menyokong kesaksamaan jantina.
"Walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai sektor masyarakat, termasuk dalam kalangan agama dan lingkaran Islam, perarakan ini memberi kesan yang signifikan.
"Menggunakan seni sebagai satu bentuk ekspresi, mereka menyokong kesaksamaan jantina dan menekankan kepentingan penglibatan awam dalam mengejar perubahan sosial," ujarnya.
Husnul memaklumkan, perkara tersebut menunjukkan bahawa Gerakan Sosial Utara di Pakistan berpotensi untuk membentuk dan merangsang perbincangan mengenai reformasi agama, politik, dan pengaruh dasar serta menangani isu kritikal di rantau itu.