SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan pernah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Beliau berkata, ada pihak yang memetik ucapannya dalam ceramah di Pulai pada 2 September lalu di luar konteks.
"Ucapan saya panjang.
Saya menyentuh pelbagai isu dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan).
"Kerana itu saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas Muhyiddin, dia tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH.
"Saya hanya secara berkias menyebut ‘saya bagi hukum haram’ dengan tiada niat bahawa ia adalah fatwa hukum syarak kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, selepas itu saya menyebut ‘ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana," katanya.
Tambahnya, sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama.
"Apatah lagi di negara kita terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.
"Saya percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapan saya semasa ceramah tersebut faham maksud saya,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.
Menurutnya, berdasarkan respon hadirin pada malam itu, beliau yakin mereka tidak mengambil kenyataannya secara serius sebagai suatu fatwa agama.
"Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai,” ujarnya.
Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin.
Ayob mengesahkan ada laporan dibuat dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.
Ini kerana katanya, fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa 'haram memberikan undi kepada Suhaizan'.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat
Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin
'Kamu siapa haramkan pengundi undi Suhaizan' - Anwar
Fatwa politik haram beri undi kepada saya tak wajar - Suhaizan
Tindakan hasut rakyat: Kerajaan Perpaduan tak akan bertolak ansur
Berkawan dengan Pas, Muhyiddin keluar fatwa haram - Mohamad Sabu
Polis buka kertas siasatan terhadap Muhyiddin isu 'fatwa' politik
Biar Majlis Fatwa Kebangsaan tentukan hukum Islam - Saarani
Ahmad Maslan minta Muhyiddin jangan permainkan agama
'Fatwa politik' timbulkan salah faham, cemarkan Islam - Mohd Na'im