SHAH ALAM - Polis menerima satu laporan daripada seorang wanita berkaitan kes penipuan secara dalam talian dengan menggunakan e-mel palsu untuk urusan pembayaran saman trafik yang melibatkan kerugian RM31, 638.85.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 37 tahun itu menerima e-mel yang mendakwa dia mempunyai satu rekod saman.
"E-mel tersebut menyertakan portal rasmi MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mangsa membuat semakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Hussein berkata, mangsa membuat semakan melalui portal tersebut dan mendapati terdapat satu saman PDRM atas kenderaannya.
"E-mel palsu tersebut kemudian memberi amaran kepada mangsa untuk segera membuat bayaran saman tersebut, jika tidak tindakan lanjut akan diambil.
"E-mel tersebut juga menyertakan satu laman My Bayar PDRM bragi@noxmedical. com untuk mangsa membuat bayaran secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian menekan satu pautan ke laman web My Bayar PDRM yang palsu untuk dia membuat bayaran saman RM50.
"Mangsa telah mengisi butir-butir perbankan iaitu nama penggunaan, kata laluan dan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) ke dalam borang yang disediakan dalam pautan tersebut," katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, setelah butiran perbankan dimasukkan transaksi bayaran tersebut telah gagal dengan skrin laman web palsu itu menyatakan nombor kod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima tidak sah.
"Mangsa tidak menyedari sebenarnya pihak scammer telah memperolehi butir-butir rahsia perbankan mangsa melalui pautan palsu tersebut sehingga membolehkan scammer memindahkan wang mangsa secara dalam talian ke akaun bank lain," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian telah menerima panggilan dari pihak bank menyatakan wang dari akaunnya telah dipindahkan sebanyak tiga kali dalam masa singkat ke dalam akaun bank lain berjumlah RM 31, 638.85.
"Mangsa baharu menyedari telah ditipu dalam urusan bayaran saman PDRM tersebut," katanya.
Menurutnya, scammer akan mengambil kesempatan menggunakan modus operandi penipuan dalam talian yang sama dengan menyasarkan mangsa yang mempunyai saman PDRM.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayan sebarang e-mel yang dikatakan daripada PDRM untuk membayar saman kerana polis tidak menggunakan e-mel untuk berhubung dengan orang ramai dalam urusan pembayaran saman," katanya.
Hussein berkata, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan.tidak mendedahkan rahsia perbankan kepada individu lain, laman web atau aplikasi yang meragukan.
"Orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis atau talian hotline PDRM untuk membuat pertanyaan jika menerima e-mel PDRM yang mencurigakan," katanya.