Agong titah tolak perbezaan demi masa depan Malaysia gemilang

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kesatuan yang jitu antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak merupakan kekuatan utama membentuk negara Malaysia.

Justeru, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama berusaha mempertahankan kesatuan itu dan menolak segala perbezaan, selain menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia demi masa depan negara yang gemilang.

Iklan
Iklan

"Bagaikan aur dengan tebing, serumpun laksana serai, kesatuan yang jitu antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah merupakan kekuatan yang membentuk sebuah negara yang bernama Malaysia," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah Sempena Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.

Iklan

Berangkat sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim Haji M. Yahya.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah, keberangkatan baginda ke Sabah juga diharap dapat membina jambatan silaturahim yang berupaya mengukuhkan ikatan perpaduan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

"Kita semua, sama ada dari Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung, adalah sebuah negara merdeka yang berdiri megah di bawah satu bendera yang bernama 'Jalur Gemilang'," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo, Seri Paduka berdua mengenali budaya pelbagai etnik, makanan tradisi, alat muzik tempatan dan tarian tradisional masyarakat Sabah.

"Saya juga amat gembira dengan layanan mesra dan keramahan rakyat yang saya telah temui di sepanjang perjalanan yang terdiri daripada berbilang etnik dan suku kaum.

"Saya telah mempelajari bahawa rakyat Sabah terdiri daripada 33 kumpulan peribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik, ini merupakan satu realiti yang amat menakjubkan," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah, keharmonian rakyat di Sabah yang wujud di sebalik kepelbagaian adalah simbol kepada perpaduan di negara ini dan wajar dijadikan teladan.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Sabah yang sentiasa dekat di hati, atas kesudian menerima kunjungan Seri Paduka berdua dalam Kembara Kenali Borneo.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar, Hajiji, Kerajaan Sabah, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang menjayakan Kembara Kenali Borneo.

"Kembara Kenali Borneo ini merupakan lawatan saya yang terakhir ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ia merupakan pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan.

"Semoga rakyat Sabah yang saya kasihi sekaliannya akan dilindungi serta dipelihara oleh Allah Subhanahuwataala. Saya turut berdoa semoga Sabah, Negeri di Bawah Bayu akan terus kekal makmur, maju jaya, aman dan sentosa dalam Persekutuan Malaysia atas semangat perpaduan jitu," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga malam ini sempat bertitah, ayat dalam bahasa Kadazan yang bermaksud"Terima kasih semua, Sabah dan rakyatnya sentiasa berada di dalam hati saya".

Seri Paduka berdua kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama