KARAKTER fantastik Harimau Malaya ketika bangkit ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria, 2-2 dalam perlawanan persahabatan di Chengdu pada Rabu, disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.
Malah, pengendali skuad bola sepak negara, Kim Pan-gon percaya pencapaian itu memberi gambaran bahawa Harimau Malaya setanding dengan 100 pasukan terbaik dunia pada masa ini.
Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, keputusan perlawanan diraih anak buahnya yang berstatus ke-136 dunia menentang pasukan di kedudukan ke-94 dunia satu perubahan positif menjelang Pusingan Akhir Piala Asia pada tahun depan.
"Ya, aksi separuh masa pertama persembahan pemain sangat baik, malah kami berada pada tahap terbaik bersaing dengan pasukan ke-94 di dunia. Cuma terdapat dua kesilapan yang merugikan pasukan pada ketika itu.
"Separuh masa kedua pemain kembali menunjukkan mentaliti sebenar Malaysia kepada penyokong-penyokong pasukan negara.
"Selain itu, sikap Harimau Malaya untuk kembali bangkit mengejar dan berjuang sehingga perlawanan berintensiti tinggi ini berakhir, sesuatu yang begitu positif buat pasukan,” katanya selepas perlawanan di Stadium East-Town Football Park tersebut.
Dalam perlawanan itu, jaringan minit ke-85 tonggak Sabah FC, Darren Lok berjaya mengikat Syria 2-2 selepas Akhyar Rashid merapatkan defisit pada minit ke-51.
Bagaimanapun Syria terlebih dulu mendahului 2-0 hasil jaringan Mardik Mardikian pada minit ke-12 sebelum gol Yassin Samia (m-41) memastikan 'Qasioun Eagles kendalian Héctor Cúper memimpin separuh masa pertama.
Menurut Pan-gon, mentaliti anak buahnya yang tidak mengalah berjaya menterbalikkan keputusan untuk 45 minit separuh masa kedua.
"Sejujurnya dalam perlawanan ini saya rasa kita sudah terkeluar, namun sebaliknya para pemain bekerja keras pada babak kedua berjaya menyamakan kedudukan kepada 2-2.
"Keyakinan seperti ini sebenarnya sangat penting bagi para pemain berbanding separuh masa pertama. Persembahan pemain sangat baik apabila berjuang sehingga perlawanan tamat, saya sangat berbangga dengan semua pemain,” katanya.