TANJUNG MALIM - Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda (4x4) dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 383.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur masuk Hentian Sebelah Behrang, di sini pada Khamis.
Nahas sekitar jam 4.05 pagi itu menyebabkan pemandu Mitsubishi Triton, Muhamad Azwan Roslan, 29, tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, nahas membabitkan kenderaan dinaiki mangsa bersama dua rakan dan sebuah lori membawa muatan motosikal.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan terbabit telah melanggar tepat bahagian belakang lori yang parkir di tepi jalan," katanya di sini.
Menurut beliau, penumpang hadapan berusia 34 tahun mengalami patah tangan kiri manakala penumpang belakang berusia 29 tahun cedera di bahagian kepala serta patah tulang rusuk dan kaki kanan.
Tambah Mohd Hasni, mangsa dan penumpang hadapan yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat manakala dua yang terselamat menerima rawatan di hospital sama.
"Siasatan awal dipercayai pemandu pacuan empat roda itu terlelap dan terus melanggar belakang lori tersebut," katanya.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.