JURULATIH England, Gareth Southgate 'membakar' semangat skuad Three Lions apabila meluahkan keyakinan untuk merangkul gelaran Euro edisi 2024.
Pengendali berusia 53 tahun itu membuat ucapan 'berapi' tersebut ketika skuadnya berkumpul untuk sesi latihan menjelang aksi dengan Ukraine pada pusingan kelayakan Euro 2024 di Poland Sabtu ini.
Southgate mahu pemainnya memiliki mentaliti kemenangan yang mantap selepas kecewa dalam beberapa kejohanan utama sebelum ini.
Kapten Brighton, Lewis Dunk mendedahkan ucapan bersemangat Southgate sebelum sesi latihan di St George's Park pada Rabu.
"Ia bukan sejauh mana kami boleh pergi di kejohanan itu. Ia adalah menjuarainya. Kami akan memenangi kejohanan ini dan kami mahu menjuarainya. Itu yang akan kami lakukan.
"Sudah tentu ia memberikan anda keyakinan dan dengan dikelilingi pemain bersemangat tinggi. Gareth penuh yakin England boleh menjuarai Euro,” ujar Dunk.
England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, final Euro 2021 dan disingkirkan Perancis pada Piala Dunia tahun lalu di Qatar.
Kontrak Southgate tamat selepas Euro tahun depan dan kejohanan kali ini mungkin menjadi peluang terakhirnya mendakap trofi utama bersama England.