'Arwah Muhammad Azzim pasang impian belikan datuknya kereta baharu'

Iklan
Mohd Faizal menunjukkan gambar terakhir Muhammad Azzim Imni yang dirakam dan disimpan dalam telefon untuk tatapan kenangan. Gambar kecil: Laporan sinar harian

KUANTAN - Bapa kanak-kanak lapan tahun yang maut selepas basikal ditunggang dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lorong 14 Kampung Padang Jaya 2 di sini reda dan menerima hakikat kehilangan satu-satunya anak lelaki akibat kemalangan pada petang Rabu itu.

Mohd Faizal Aziz, 36, mengakui kematian anaknya, Muhammad Azzim Imni, 8, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang di sini satu dugaan amat berat bagi dia dan keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama adik perempuannya berusia enam tahun dalam perjalanan pulang selepas bermain di taman permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah.

"Ketika itu mangsa menunggang basikal manakala adiknya mengekori dengan berjalan kaki.

Iklan

"Akibat kejadian itu, adiknya kini agak trauma kerana kemalangan menimpa abangnya berlaku di depan mata," katanya yang ditemui ketika menunggu jenazah anaknya itu di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Khamis.

Mohd Faizal yang bekerja sebagai operator jengkaut berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan petang itu ada menghubungi isteri bertanyakan tentang mereka.

Iklan

"Dua minit selepas panggilan ditamatkan, isteri menghubungi kembali memaklumkan dia (mangsa) kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kali terakhir saya melihatnya sebelum ke tempat kerja selepas Subuh pada hari kejadian.

"Ketika itu dia dan adik-adiknya masih tidur dan akan diuruskan ibu mereka untuk bersiap ke sekolah kemudiannya," katanya yang tinggal menyewa di kawasan perumahan itu kira-kira enam bulan lalu.

Jelasnya, dia menyedari terdapat perubahan sikap anaknya itu beberapa hari sebelum kejadian antaranya banyak termenung dan kurang selera makan.

"Dia juga ada memasang impian untuk membelikan datuknya kereta baharu bila besar nanti dan hasratnya itu pernah disebut beberapa kali di depan ahli keluarga.

"Beberapa hari lalu dia sekali lagi menyuarakan hasrat itu di hadapan datuknya sendiri namun dengan ayat yang agak menyentuh perasaan seakan merasakan tidak sempat untuk memenuhi impian itu.

Rupa-rupanya dia yang pergi dahulu membawa bersama impian yang tidak kesampaian untuk datuk kesayangannya," katanya.

Mohd Faizal sendiri turut terkilan kerana beberapa aktiviti yang dirancang untuk dilakukan bersama anak sulungnya itu tidak kesampaian.

"Dia suka berjalan-jalan namun jarang dapat membawa dia dan keluarga bercuti kerana kekangan kerja.

"Saya telah merancang untuk membawanya bercuti di Janda Baik sempena hari keluarga hujung bulan ini.

"Chalet dan tempah, baju dan siap cuma tunggu masa sahaja.

Sedih bila fikirkan namun semuanya sudah ketentuan ALLAH," katanya.

Jelasnya, walau bagaimanapun dia lega apabila hasrat anaknya itu untuk bercuti ke Kelantan dapat ditunaikan beberapa hari lalu.

"Kebetulan datuknya ada kenduri di sana, jadi dia dan adiknya dibawa bersama.

"Dia anak yang baik, senang bergaul, pandai berdikari, tak suka meminta, suka bergurau dan rapat dengan semua ahli keluarga.

"Pemergiannya benar-benar satu kehilangan buat kami sekeluarga," ujarnya.

Jenazah Muhammad Azzim Imni dijangka akan dibawa ke tanah perkuburan Muadzam Shah untuk dikebumikan.