PENAMPANG -"Makanan Sabah cukup enak, tapi masih lagi saya baru berkenal-kenalan makanan Sabah di sini," titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah.
Itu respons Seri Paduka Baginda ketika disapa media dalam kunjungan bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Kampung Kebudayaan Koisaan di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, pada Khamis.
Dalam kunjungan itu, Raja Permaisuri Agong berkenan menikmati makanan tradisional nanggio (bubur sagu), hinompuka (lepat tepung beras pulut hitam) dan hinava (kerabu) di Rumah Kebudayaan Penampang.
Selain itu, Seri Paduka berdua turut mencuba beberapa makanan tradisional lain seperti ambuyat (sagu), butod (ulat sagu), sambal bambangan, tuhau (sejenis tumbuhan keluarga halia) dan Raja Permaisuri Agong sempat mencuba memasak busou (jeruk ikan sungai) dan ambuyat di Rumah Dusun Tatana.
Juruacara, May Salitah Kiob, 35, berkata, dia antara petugas yang mengacara majlis bagi menyambut ketibaan Seri Paduka sekeluarga di Rumah Kebudayaan Penampang dan memberi penerangan mengenai beberapa makanan tradisional yang dihidangkan menjadi santapan dalam lawatan itu.
"Raja Permaisuri Agong sempat menikmati hinompuka dan berkata ia seperti kuih pais dan nanggio dikatakan sedap seperti bubur caca.
"Raja Permaisuri Agong juga meminta tapau (bungkus) nanggio," katanya yang teruja dapat melayani keluarga Diraja yang menikmati makanan tradisional itu.
Seri Paduka sekeluarga turut berkenan untuk melihat persembahan bergandang (paluan gong dan kulintangan) lagu Joget Pahang di Walai (rumah) Bisaya sebelum beralih kepada persembahan tarian Sumazau dan seterusnya melihat aktiviti di rumah-rumah kebudayaan seperti menghidupkan api secara tradisional, permainan tradisional melastik, menyumpit dan permainan lansaran di Rumah Murut.
Sebelum itu, keberangkatan tiba keluarga Diraja disambut oleh Huguan Siao (pemimpin tertinggi Kadazan, Dusun, Murut, Rungus), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Ketika berangkat meninggalkan majlis, Seri Paduka berkenan untuk bertemu dengan rakyat termasuk media yang membuat liputan di Kampung Kebudayaan Koisaan.
Kembara Kenali Borneo Seri Paduka yang memasuki hari kelima ini adalah yang terakhir di Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak melalui Lebuhraya Pan Borneo Jalan Penampang-Papar, Beaufort, Sipitang dan seterusnya ke Lawas, Sarawak.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati ribuan masyarakat setempat hadir ke KDCA seawal jam 6 pagi untuk melihat sendiri dengan lebih dekat keluarga Diraja menerusi Kembara Kenali Borneo di daerah ini.