Bomba Selangor siap sedia hadapi kecemasan, banjir

Iklan
Wan Md Razali memeriksa kawalan perbarisan anggota bomba pada Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Selangor di BBP Kuala Selangor pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Seramai 1,700 pegawai dan anggota bomba di seluruh Selangor bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan seperti kecemasan, bencana dan banjir yang diramal dari Oktober sehingga awal Februari tahun depan.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, semua anggota dan pegawai bomba mesti dalam keadaan bersedia dan mempunyai kompetensi tinggi dalam menghadapi sebarang bentuk kecemasan dan bencana terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesiapsiagaan itu termasuk dari segi logistik dan aset untuk digerakkan ke tempat berlakunya kecemasan dan banjir.

"Kita bersedia dengan aset dan logistik yang kita ada contohnya 92 bot penyelamat pelbagai jenis untuk menghadapi keadaan banjir di negeri ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor di sini pada Khamis.

Wan Md Razali berkata, terdapat tujuh daerah dikenal pasti sebagai lokasi panas atau 'hot spot' banjir di negeri ini.

Iklan

"Tujuh daerah ini antaranya Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Gombak dan Kuala Selangor yang terjejas sewaktu banjir teruk pada tahun 2021.

"Antara kawasan lain seperti Seri Muda, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Teluk Gong dan Bestari Jaya," jelas beliau.

Ditanya adakah cuti kakitangan bomba dibekukan sepanjang tempoh itu, Wan Md Razali berkata, buat masa ini tiada lagi cuti dibekukan.

"Cuti kakitangan bergantung kepada keadaan semasa terutama jika berlaku kes kecemasan pada waktu kritikal," ujar beliau.

Dalam pada itu katanya, terdapat keperluan penambahan anggota bomba di negeri ini terutama bagi penjawatan pegawai bomba gred KB19.

Jelas beliau, pada masa ini, terdapat 166 kekosongan bagi penjawatan itu dan pengisian kekosongan itu bergantung kepada pengambilan baharu yang diselaraskan di peringkat ibu pejabat bomba.

"Dari segi keperluan sumber manusia di JBPM Selangor ini, kita hadapi bebanan tugas yang tinggi ekoran daripada banyak berlaku kejadian kemalangan, insiden dan bencana.

"Di seluruh negeri ini kita ada 38 balai bomba dan dari segi statistik berlakunya kejadian kecemasan dan bencana, Selangor mencatatkan kes tinggi di seluruh negeri," ujar beliau.