KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan bagi pihak Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, tiada bukti menunjukkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu menerima rasuah RM2.8 juta melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, lapan tahun lalu.
Peguam, M M Athimulan yang mewakili Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berhujah demikian ketika prosiding semakan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Bung Moktar, 66, dan Zizie Izette 46, membela diri atas tuduhan itu.
Semasa hujahan di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, peguam itu berkata, perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 46, dan Madhi Abdul Hamid, 44, tidak pernah memberi keterangan menyatakan bahawa mereka memberi rasuah itu.
Madhi dan Norhaili dipanggil memberi keterangan terhadap Bung Moktar dan Zizie Izette, masing-masing selaku saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25.
Menurutnya, rekod atau dokumen tidak diberi kepada mahkamah bagi membuktikan anak guamnya menerima suapan atau dana itu diserahkan kepada Zizie Izette untuk Bung Moktar sebagai mana yang terdapat dalam pertuduhan.
"Justeru, pihak kami memohon agar keputusan Mahkamah Sesyen memanggil Bung Moktar dan isteri membela diri, diketepikan,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk K Kumaraendran mewakili Zizie Izette memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mengguna pakai hujahan yang dibangkitkan oleh Athimulan.
Bagaimanapun, pasukan pendakwaan menghujahkan bahawa tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Zizie Izette membuat permohonan semakan berkenaan sebagai suatu menyalahgunakan proses mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, pasangan itu boleh mendapatkan keadilan dengan memberi keterangan membela diri atas tuduhan tersebut.
Menurutnya, kedua-dua tertuduh selaku pemohon dalam semakan ini sentiasa boleh membuat rayuan sekiranya mereka disabitkan atas kesalahan tersebut di akhir kes pembelaan.
Malangnya, beliau berkata, pemimpin politik dan pelakon itu tidak menggunakan hak yang diberikan, menerusi proses yang betul sebaliknya bergantung pada permohonan semakan.
"Keputusan prima facie dalam kes ini tidak mewajarkan permohonan semakan mereka kerana tidak berlaku kepincangan dalam sistem keadilan.
"Ini kerana, beban untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, ialah terletak di bahu kami selaku pihak pendakwaan,” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Azhar menetapkan keputusan akan diputuskan, petang ini.
Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar merit permohonan semakan Bung Moktar dan Zizie Izette terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lalu.
Ia selepas Azhar membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan pasangan suami isteri itu, pada 9 Disember 2022 untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di sini.
Pada 2 September tahun sama, Bung Moktar diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar bawah nama Zizie Izette, manakala isterinya itu berdepan tiga pertuduhan bersubahat berhubung perkara itu.