SHAH ALAM - Ruang tempat letak kenderaan percuma, tandas yang bersih, surau dan bilik khas merupakan antara kemudahan disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung bermula esok hingga Ahad.
Pengurus Acaranya, Khairil Fithry Mustapha berkata, penyediaan bilik khas tersebut bertujuan memudahkan golongan ibu-ibu yang mencari tempat tertutup untuk menyusukan anak selain menjadi ruang rehat bagi pengunjung.
Menurutnya, beberapa petugas turut ditempatkan di setiap pintu masuk untuk melayani dan menyantuni golongan-golongan yang berkeperluan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
"Bagi golongan warga emas yang mempunyai pergerakan terbatas, kami juga menyediakan kerusi roda untuk mereka gunakan sepanjang karnival ini.
"Selain kemudahan asas, bantuan kecemasan iaitu pegawai perubatan untuk pengunjung yang memerlukan turut disediakan sebagai persediaan rapi kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini bakal menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti menarik kepada pengunjung.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, antara aktiviti menarik ialah Pameran Digital Skil dan Kerjaya daripada pemain industri seperti Apple Education, TikTok, Les’ Copaque, AirAsia Academy, Israk Solutions Sdn Bhd dan Pusat Sains Negara.
Selain itu, mengenai karnival yang akan berlangsung esok, Khairil Fithry menjelaskan bahawa pelbagai aktiviti menarik disediakan bukan sahaja untuk pelajar, malah melibatkan ibu bapa serta pelbagai lapisan masyarakat.
"Kami turut menyediakan pelbagai promosi dan hadiah-hadiah yang menarik untuk semua pengunjung.
"Kemudahan telah kami sediakan buat pengunjung, maka rebutlah peluang berhujung minggu bersama dengan kami,” ujarnya.