SK Puchong juara Piala Sumbangsih

Iklan
SK Puchong menewaskan SK Seri Selangor untuk merangkul Piala Sumbangsih.

[DIKEMAS KINI] SEKOLAH Kebangsaan (SK) Puchong melaungkan amaran awal untuk mencabar kejuaraan Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 (B-12) edisi 2023.

Ia selepas SK Puchong muncul juara aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih di Padang SK Raja Muda Integrasi Seksyen 4, Shah Alam menewaskan SK Seri Selangor 3-2 pada Khamis.

Iklan
Iklan

Muhammad Nazrin Nazdiny Nazarudin muncul wira dengan meledak dua gol manakala Muhammad Razin Aqeef Nazmi turut mencetak nama selaku penjaring untuk mengesahkan kemenangan pertama piala tersebut untuk SK Puchong.

Gol SK Seri Selangor dijaringkan oleh Muhammad Nuraidil Farriez dan Ahmad Danish Amar.

Iklan

Kemenangan tersebut juga menyaksikan SK Puchong membalas dendam kekalahan di tangan SK Seri Selangor pada perlawanan akhir Piala Raja Muda Selangor tahun lalu.

SK Puchong membawa pulang piala pusingan dan medal yang disampaikan pengerusi pengelola kejohanan, Datuk Emran Kadir.

Iklan

Dalam pada itu, Jurulatih SK Puchong, Zulhilmi Mustapa menyifatkan kemenangan itu membakar semangat para pemainnya untuk memburu kejayaan dalam saingan Piala Muda Selangor.

"Kita kalah dengan mereka (SK Seri Selangor) dua kali di final tahun lalu dan tahun ini kami buat sehabis baik untuk meraih kemenangan ini.

"Ini juga menjadi tonik terbaik untuk kami mengharungi saingan liga nanti," katanya kepada Sukan Sinar.

Saingan Piala Raja Muda Selangor akan bermula Isnin depan membabitkan 32 sekolah seluruh Selangor mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).