Padang latihan atau stadium

Iklan
Skuad Harimau Malaya digambarkan oleh peminat beraksi di padang tepi jalan ketika menentang Syria dalam perlawanan persahabatan di Chengdu, China pada Rabu. - Foto Facebook FAM

KEJAYAAN Malaysia mengikat Syria yang menghuni tempat ke-94 dunia melegakan peminat bola sepak negara yang kagum dengan kebangkitan skuad Harimau Malaya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk meraih keputusan 2-2 di China pada Rabu.

Bagaimanapun tercetus tanda tanya dalam kalangan penyokong yang mempertikaikan venue perlawanan tersebut berlangsung di Stadium East-Town Football Park, di Chengdu.

Iklan
Iklan

Venue tersebut kelihatan seperti sebuah padang yang terletak berhampiran taman di tepi jalan dan tidak setanding dengan taraf perlawanan persahabatan tersebut berstatus A.

Ketika aksi berlangsung seperti yang dapat ditonton secara langsung oleh peminat di tanah air dapat dilihat kelibat individu berjoging di laluan pejalan kaki di luar pagar.

Iklan

Semasa bersiaran, pengulas sukan Astro Arena, Zainal Abidin Rawop turut menyentuh mengenai venue tersebut yang kelihatan seperti padang latihan biasa.

Malah papan elektronik yang memaparkan keputusan perlawanan dipasang di luar pagar seakan baru 'dipacak' oleh tuan rumah iaitu Persatuan Bolasepak China (CFA).

Iklan

Turut menjadi teka-teki ialah ambulans diletakkan di luar pagar yang lazimnya dalam perlawanan Tier 1 kenderaan tersebut berada dalam stadium.

Ia bagi memudahkan bantuan awal dilakukan jika terdapat para pemain yang mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan segera di hospital.

Timbul persoalan adakah fasaliti itu mengikut piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau garis panduan untuk perlawanan antarabangsa Tier 1.

Malah tercetus juga pertanyaan kemungkinan ia adalah perang saraf China menjelang aksi menentang skuad bimbingan Kim Pan-gon Sabtu ini.

Aksi itu dijadualkan berlangsung di venue yang lebih canggih dan moden iaitu Stadium Phoenix Hill, Chengdu yang mampu menampung hampir 60,000 penyokong.

Syria juga difahamkan menentang China di stadium sama pada Selasa depan.

Tindakan China itu perlu dipandang serius oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang seakan memperkecilkan status dan keupayaan Malaysia kerana ia melibatkan maruah negara.

Skuad Harimau Malaya mara ke kancah Piala Asia Qatar Januari depan bukan atas dasar ihsan tetapi layak secara merit.

Malaysia adalah antara 24 pasukan terbaik benua Asia selepas para pemain dan barisan kejurulatihan berhempas pulas untuk menamatkan badi 42 tahun beraksi dalam kejohanan berprestij Asia itu.