JAKARTA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis membincangkan isu Palestin dan Myanmar serta kerjasama ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa mesyuarat dua hala beliau dengan Setiausaha Agung badan antarabangsa itu, Antonio Guterres.
Pada mesyuarat di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 itu, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk menjalin kerjasama erat dengan PBB dan ASEAN terutama dalam usaha mencari penyelesaian yang aman bagi situasi politik di Myanmar.
Sementara itu, pemimpin ASEAN dalam Kenyataan Pengerusi mengulangi pendirian mereka terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) adalah kekal sebagai rujukan utama bagi menangani krisis politik di Myanmar.
Pemimpin terbabit juga amat bimbang dengan ketiadaan progres yang ketara dalam pelaksanaan 5PC oleh pihak berkuasa Myanmar meskipun mereka telah memberikan komitmen berhubung perkara itu pada April 2021.
"Kami mengesahkan komitmen kami terhadap strategi dan pendekatan ASEAN yang berterusan serta mampan bagi membantu rakyat Myanmar mencari penyelesaian yang aman, komprehensif dan utuh,” menurut mereka dalam kenyataan itu yang dikeluarkan pada Khamis.
Menyentuh isu Palestin, Anwar dan pemimpin ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan di Timur Tengah serta mengulangi keperluan bagi penyelesaian yang komprehensif, adil dan mampan dalam konflik Israel-Palestin ke arah mencapai keamanan serta kestabilan di rantau itu.
Mereka turut menggesa kedua-dua pihak agar mengambil langkah positif secara aktif bagi membolehkan rundingan diadakan dan menjalin kerjasama untuk menyambung semula perbincangan ke arah mencapai keamanan yang berkekalan.
"Kami menyokong penuh hak rakyat Palestin untuk mendapatkan sebuah negara yang merdeka dengan merealisasikan kewujudan dua negara iaitu Palestin dan Israel, hidup berdampingan dalam suasana aman serta selamat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” menurut kenyataan itu. - Bernama