SEMPORNA - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bersama Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM), dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang kepada isu penduduk tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Suhakam dalam kenyataan di sini memberitahu pembaharuan memorandum berkuat kuasa lima tahun itu menggambarkan komitmen semua pihak mempergiatkan kerjasama sedia ada melalui kolaborasi dengan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam mencari penyelesaian kukuh ke arah penambahbaikan situasi hak asasi manusia bagi orang tanpa kewarganegaraan serta orang berisiko menjadi tiada kewarganegaraan di Sabah.
"Lanjutan daripada usaha terdahulu, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran dengan mengambil kira kurangnya pemahaman dan salah tanggapan dalam kalangan orang awam dan pihak berkepentingan terhadap orang tanpa kewarganegaraan di Sabah.
"Ia termasuk penafian akses kepada hak asas yang diperlukan seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, dan mata pencarian, dan sering kali mengakibatkan mereka terdedah menjadi sasaran pemerdagangan manusia, eksploitasi, gangguan dan buruh paksa," menurut kenyataan berkenaan pada Khamis.
Suhakam juga berharap agar memorandum berkenaan menjadi platform untuk pihak berkepentingan berbincang mengenai isu mencabar secara terbuka seterusnya dapat meningkatkan kepekaan orang ramai.
MoU berkenaan pertama kali ditandatangani antara Suhakam dan Komnas HAM pada April 2019, dengan CHRP sebagai pemerhati rasmi, dan ia kemudiannya diperbaharui dua kali dan dilanjutkan sehingga Disember 2022 dengan penglibatan rasmi ketiga-tiga pihak.
Melalui MoU itu pelbagai inisiatif dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan termasuk mesyuarat peringkat tertinggi dengan Ketua Menteri Sabah serta agensi kerajaan yang berkaitan, kenyataan media bersama, anjuran dialog dalam talian, selain lawatan ke sebuah pusat pemindahan untuk orang yang kehilangan tempat tinggal di Filipina. - Bernama