DNAA Ahmad Zahid: Kerajaan digesa adakan sidang khas Parlimen

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Tyra Hanim)

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan mengadakan satu sesi Parlimen khas bagi membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Naib Ketua AMK, Tyra Hanim Razali berkata, satu tempoh masa juga perlu diberi bagi membolehkan siasatan dilakukan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mencari bukti baharu kes berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pendakwaan semula perlu dilakukan dalam kadar serta-merta jika pimpinan Kerajaan Perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang kelak akan menyukarkan pentadbiran Malaysia Madani kerana kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

"Tidak dinafikan mehnah (ujian) dalam Kerajaan Perpaduan campuran adalah besar, namun kita tidak boleh kehilangan identiti dan perjuangan berdekad lamanya apabila berada di puncak kuasa. Kita tidak mahu berterusan dihukum rakyat pada masa sekarang dan seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan sekiranya terdapat kemungkinan wujudnya komplot terancang di sebalik keputusan berkenaan dan pihak yang bertanggungjawab perlu dikenal pasti.

Sehubungan itu katanya, penjelasan AGC bertarikh 5 September lalu juga dilihat tidak tuntas dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya dalam kalangan masyarakat umum.

Iklan

"AMK juga mempersoalkan tindak-tanduk Peguam Negara lantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin (Pengerusi Perikatan Nasional) sejak 2020 di bawah pemerintahannya iaitu Tan Sri Idrus Harun yang juga dilaporkan bercuti sementara menunggu persaraan, manakala tugasnya diambil oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

"Keputusan drastik untuk memohon DNAA kes Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dibuat dalam tempoh tersebut. Sebelumnya, Raja Rozela Raja Toran yang merupakan pendakwa raya telah berjaya membuktikan kes prima facie kes itu juga dilaporkan telah memohon persaraan awal sebelum bercuti pada hujung Ogos lalu, sebelum persaraan pada November akan datang.

"Bagaimanapun dalam masa sama kita tidak dapat nafikan situasi ini sekali gus melemahkan imej Kerajaan Perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi serta mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia Madani terutama di tengah ribut Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram," ujarnya.