PRK: Tak timbul isu ahli, penyokong UMNO protes calon PH-BN

Iklan
Mohamad bercakap kepada pemberita selepas program bersama penduduk setempat di Taman Seri Jeram, Batu 4, Bakri, Muar pada Khamis.

MUAR - Tidak timbul situasi ahli dan penyokong UMNO akan protes dan tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Sabtu ini disebabkan keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pertuduhan rasuah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah mengeluarkan kenyataan lengkap termasuk sebab utama kes tersebut dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Pihak peguam negara tidak akan mendakwa seseorang kalau tidak 80 peratus solid. Sebab itu dia nak kes itu 'water tight', kes yang mana hakim boleh buat keputusan 'beyond reasonable doubt '. Tanpa keraguan.

"Kalau ada keraguan, representasi itu terutamanya memo dalaman dan telah keluar dari AGC, itu menyebabkan keraguan, agak sayalah. Ini yang membuatkan AGC menarik balik kes tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas berkempen dalam program di Taman Seri Jeram, Batu 4, Bakri di sini pada Rabu.

Iklan

Turut hadir, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan calon PH-BN, Nazri Abdul Rahman.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Iklan

Mengenai perkembangan kempen PRK tersebut, beliau berkata, ramai lagi terutama ahli UMNO yang masih ragu-ragu dan tidak memahami sebab Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dan jika tidak dijelaskan mungkin akan ada masalah.

"Orang UMNO ini susah sedikit sebab dia lama tak boleh dengan DAP dan macam-macam. Orang DAP pun tak mahu dengan UMNO tetapi kita tubuhkan Kerajaan Perpaduan ini bukan suka-suka kerana keadaan pada masa itu memaksa kita untuk membuat keputusan strategik," katanya.

Katanya, mereka perlu faham kerana pada masa itu selepas dua hari Pilihan Raya Umum ke-15, masih tidak ada kerajaan untuk menguruskan negara.

"Jadi pada masa itu adalah kepentingan utama kami untuk menguruskan negara dan bukan lagi sentimen-sentimen. Kami mengikut titah Tuanku dan kami menyelamatkan keadaan," jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, paling tinggi peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini dijangka 80 peratus, namun sekiranya dapat 70 peratus pun sudah memadai.

"Kerajaan Johor dah ada dah, menang atau kalah tetap kerajaan yang sama. Kita mesti cerdik dengan memilih wakil kita yang akan bersama-sama kerajaan supaya suara kita, dan cadangan kita boleh dibawa terus. Itulah yang perlu dilakukan pengundi di Pulai dan Simpang Jeram.