SUBANG JAYA – Bagi memberi manfaat kepada pelanggannya, pemaju hartanah Avaland Berhad (Avaland) melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian dengan menerapkan ciri mampan dan mesra alam dalam setiap projeknya.
Ketua Pegawai Operasi Avaland, Aw Sei Cheh berkata, peringkat awal Pelan Hala Tuju Kemampanan Avaland dibangunkan selaras dengan manual penyeragaman produknya menerusi segmen berbeza.
Menurutnya, fokus akan diberikan kepada empat bidang kemampanan utama meliputi ketahanan tapak, kecekapan sumber, mobiliti dan pembangunan ekonomi tempatan.
"Pendekatan ini dapat membantu menambah nilai ekonomi, alam sekitar dan sosial untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelancaran Pelan Hala Tuju Kelestarian Avaland dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Alliance Bank pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Jawatankuasa Pengurusan GreenRE dan Pemegang Amanah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Muztaza Mohamad; Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li dan Ketua Kelestarian Avaland Berhad, Aznul Rizal.
Jelasnya, Avaland menggabungkan bahan hijau dan teknologi cekap tenaga dalam mereka bentuk perumahan komuniti di kawasan bandar.
"Sebagai contoh, semua unit dalam pembangunan Aetas Damansara dilengkapi dengan lobi lif persendirian yang menggunakan pencahayaan semula jadi.
"Ruang legar juga dilengkapi pengudaraan semula jadi. Ciri-ciri ini membantu mengurangkan penggunaan elektrik dan mengurangkan pelepasan karbon,” ujarnya.
Sei Cheh berkata, projek Alira Subang Jaya pula menggunakan air hujan untuk pengairan landskap bagi menjimatkan penggunaan air dan kos penyelenggaraan.
Dalam majlis itu, enam projek perumahan Avaland menerima Pensijillan GreenRe yang disampaikan oleh Datuk Muztaza Mohamad.
Enam projek berkenaan ialah Aetas Damansara (Platinum), Alora Residences (Emas), Amika Residences (Emas), Alira Subang Jaya (Perak), Sanderling (Gangsa) dan Casa Embun (Gangsa).
Sementara itu, Pai Li berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan usaha bank untuk membina sebuah organisasi berfokuskan lingkungan, sosial, tata kelola (ESG).