PELUMBA berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom masih dibelenggu trauma menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di China yang bakal berlangsung dari 3 September hingga 8 Oktober depan.
Shah Firdaus berkata, dia kini dalam usaha untuk mengatasi masalah trauma itu susulan insiden kemalangan yang dialami pada Piala Dunia Trek Antarabangsa Hong Kong, Mei lalu dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Nilai, Negeri Sembilan, Jun lalu.
Menurutnya, situasi yang berlaku dalam dua insiden tersebut secara tidak langsung telah menjejaskan prestasinya pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu.
"Sejak Kejohanan Dunia, saya jadi hilang keyakinan. Saya perasan saya berlumba dengan lebih berhati-hati dan teragak-agak sejak terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan.
"Ada sedikit trauma dan ia memberi kesan kepada saya. Di Glasgow, saya tidak berkayuh seperti biasa, saya tidak agresif dan apabila pelumba lain bergerak, saya teragak-agak.
"Bulan lalu, kami mengadakan perlumbaan dan saya perlahan-lahan membina semula keyakinan saya. Saya tidak memikirkan mengenai kemalangan tetapi ia secara automatik terlintas dalam fikiran,” katanya pada Rabu.
Terdahulu, Shah Firdaus telah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama-sama pemain skuasy wanita, S Sivasangari pada temasya Sukan Asia 2022 Hangzhou.
"Sudah tentu ini adalah sesuatu yang istimewa kerana ini kali pertama saya akan menyertai ucapara perasmian bersama kontinjen negara. Sebelum ini, memang tidak pernah kecuali Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur saya dipilih untuk membawa obor.
"Pemilihan sebagai pembawa bendera sudah semestinya memberikan motivasi kepada saya untuk menghasilkan keputusan terbaik. Saya harap ia saya boleh beri inspirasi kepada atlet yang lain untuk mencipta sesuatu pada Sukan Asia kali ini,” ujarnya.
Di Hangzhou nanti, Shah Firdaus yang kini digelar The Terminator ekoran insiden kemalangan yang dialaminya di Nilai, akan beraksi dalam acara pecut individu dan keirin bersama-sama jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Ditanya mengenai barisan pencabar pada Sukan Asia kali ini, Shah Firdaus menjangkakan dua pelumba Jepun - Kaiya Ota dan Shinji Nakano mampu menghadirkan ancaman besar buat mereka nanti.
"Apapun kami tidak boleh memberi tumpuan kepada satu negara (Jepun). Kami tidak boleh memandang rendah negara yang lebih kecil... jadi kami perlu berhati-hati kerana apa sahaja boleh berlaku,” jelasnya.