SEPANG - Sudah bukan menjadi rahsia umum bahawa ada 'Yang Berhormat' di negara ini mencampuri urusan projek pembangunan luar bandar untuk keuntungan mereka.
Perkara itu didedahkan pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Nor'izah Ahmad yang mengakui wujud ahli politik menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kesenangan peribadi dan kroni.
"Dapatan kita ada ahli politik menggunakan peruntukan (pembiayaan projek pembangunan luar bandar) untuk membuat jambatan sepanjang dua kilometer namun selepas diselidiki pemberi maklumat kami, dia mengakui projek itu tidak diperlukan pun.
"Tetapi ia dibuat juga kerana jambatan ini menjadi penghubung ke kebunnya,” katanya ketika membentangkan kertas penyelidikan berjudul 'Risiko Rasuah Dalam Sektor Pembangunan Luar Bandar' bersempena Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, persidangan itu sebagai satu platform bagi perancang dasar dan pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat Madani yang bebas rasuah.
Persidangan terbabit turut menjadi platform berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks tata kelola, integriti dan antirasuah serta membincangkan isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan etika.
Penganjuran kali ini adalah kesinambungan persidangan sama yang kali pertama diadakan, juga di lokasi sama pada Mac tahun lalu.
Selain itu, Nor'izah turut mendedahkan, ada syarikat yang sudah disenarai hitam kerana gagal menyiapkan projek pembangunan sebelum ini, namun tetap diberi anugerah kerana campur tangan politik.
"Ada ya, yang syarikat ini telah 'blacklist', namun disebabkan campur tangan orang politik, syarikat ini dapat projek pembangunan luar bandar. Ini memberi aplikasi sangat besar,” tegasnya.
Justeru katanya, polisi, dasar dan perundangan berhubung pemberian projek pembangunan perlu ditambah baik.