SHAH ALAM - Pelajar yang lahir pada 1 hingga 10 September berpeluang untuk menebus hadiah hari jadi di reruai Grup Buku Karangkraf sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini bermula hari ini sehingga Ahad.
Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, hadiah itu akan diberikan kepada pengunjung terawal.
Menurutnya, sebanyak 100 hadiah hari jadi disediakan sepanjang tiga hari karnival berlangsung.
"Jadi, kepada mereka yang lahir pada tarikh berkenaan, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan hadiah hari jadi daripada kami dengan mengunjungi reruai Grup Buku Karangkraf. Siapa cepat dia dapat.
"Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini di reruai kami antaranya mewarna, sembang santai, menulis mushaf al-Quran dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata, lebih menarik, pelajar akan diberikan pendedahan mengenai bahan bacaan digital melalui aktiviti sembang santai.
"Karnival Pendidikan Sinar Bestari adalah pilihan terbaik bagi ibu bapa yang masih mencari aktiviti sesuai untuk dilakukan bersama anak-anak mereka pada hujung minggu. Anak-anak pasti gembira mengunjungi karnival ini sambil membeli bahan bacaan berkualiti,” katanya.
Anis Syamila berkata, pengunjung juga berpeluang membeli buku dan mendapatkan diskaun menerusi Jualan Gudang Karangkraf 2023.
"Mana-mana pengunjung yang membuat pembelian buku prima novel seram akan diberi tiket percuma untuk masuk ke rumah hantu.
"DIharapkan ibu bapa tidak melepaskan peluang ini untuk bawa anak-anak ke karnival,” katanya.