ATLET ialah manusia biasa tetapi perlu memberikan aksi luar biasa ketika bersaing dengan lawan di gelanggang.
Jadi mereka tidak boleh mengelak daripada tekanan emosi dan harapan tinggi peminat untuk melihat atlet mereka mengecapi kejayaan di pentas dunia.
Selain persiapan fizikal, psikologi sukan antara aspek yang perlu diberi keutamaan oleh para atlet kerana ia merupakan proses sebelum, ketika dan selepas pertandingan.
Psikologi sukan meliputi pengurusan mental, kawalan emosi, fokus, keyakinan diri, inspirasi dan motivasi.
Malah penggunaan sains sukan juga penting dalam merancang program dan sistem latihan menyeluruh buat atlet menuju ke puncak kejayaan.
Ia meliputi sistem data, video, foto dan analisis fakta, malah atlet dunia sudah mempraktiskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem pembentukan atlet elit berprestasi tinggi.
Secanggih mana pun teknologi dan persediaan fizikal yang mantap, tanpa pengurusan mental yang efektif proses melahirkan atlet berkualiti sukar dicapai.
Tekanan adalah asam garam buat atlet yang bertanding dalam sebarang kejohanan, malah ia memuncak apabila bersaing di temasya terbesar dunia, Sukan Olimpik.
Bagaimanapun tekanan berterusan boleh menjejaskan prestasi atlet dan semangat mereka jatuh selain keyakinan diri merudum.
Sebagai atlet sama ada di peringkat pelapis, profesional dan elit, pengurusan mental merupakan elemen utama dalam pengembaraan mereka menuju puncak kejayaan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Atlet terbuka menerima kritikan di sebalik prestasi tidak menentu mereka.
Namun biarlah ia berfakta dan membina, bukan menjatuhkan semangat atau melemahkan mental atlet.
Bagi meredakan tekanan, Institut Sukan Negara (ISN) yang mempunyai kepakaran dalam sains sukan dan psikologi sedia menjadi ‘payung’ buat atlet.
Ujian kecerdasan minda (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) juga mampu membantu.
Kaedah ini bertujuan mengukur ketajaman fikiran, mampu melatih atlet untuk fokus minda masing-masing apabila berdepan lawan dalam pertandingan.
Tanpa mental yang sentiasa diasah supaya sentiasa cerdas, gerakan fizikal pemain juga akan lambat ketika memberikan tindak balas.
Latihan ini juga bagi menguatkan dan menajamkan minda pemain supaya lebih fokus.
Misalnya dalam sukan badminton, tahu strategi lawan, ke mana lawan akan menghantar bulu tangkisnya serta ke mana pula kita hendak menghantar bulu tangkis bagi mematikan lawan.
Para atlet juga boleh ‘keluar’ seketika daripada sukan teras mereka untuk menenangkan diri.
Misalnya, atlet badminton boleh cuba berjinak-jinak dengan aktiviti memanah, berenang atau bermain bola sepak.
Begitu juga pemain bola sepak, mungkin boleh ‘belajar’ memegang raket bermain skuasy atau badminton.
Keluar bersantai, berkelah atau berkhemah bersama rakan atlet atau ahli keluarga dengan berkongsi pengalaman serta meluahkan perasaan boleh membantu mereka meredakan tekanan dan kembali dengan semangat yang lebih segar.
Aktiviti berbasikal dan berkuda ‘cuci mata’ melihat pemandangan indah flora dan fauna juga mampu melapangkan minda serta emosi para atlet.
Tekanan yang datang jangan lari, tetapi cari solusi dengan kembali kepada Pencipta mengikut pegangan agama masing-masing mengadu dan ‘bercakap’ melepaskan isi hati.
Apa pun keadaan, atlet profesional itu perlu kuat dan tabah, tiada istilah putus asa dalam diri kerana dunia sukan banyak ranjau serta durinya.
"Dunia ini kejam, hanya yang kuat mampu bertahan hingga ke penghujungnya. Keputusan adalah satu-satunya cara untuk membisukan pengkritik.
"Kalau rasa tak pasti atau tidak ada kemajuan, fokus kepada diri sendiri dan jangan buang masa kepada perkara yang tak perlu,” ujar bekas jaguh badminton negara, Khoo Kien Keat.
Arena sukan juga tidak lari daripada kontroversi, isu dalaman serta campur tangan pihak ketiga, namun jalan terbaik berundur setapak dan kemudian maju 10 langkah ke dapan.
"Apabila anda terperangkap dalam kontroversi, sukar untuk kekal fokus dan mencapai keputusan yang baik.
"Kontroversi akan mengambil sebahagian besar perhatian dan tenaga positif anda. Ingat mengapa anda bermula dan fokus pada impian yang ingin dicapai,” tambah Kien Keat.
Tekanan yang datang, sesuai dengan atlet untuk menanggung. Santai dan tenang-tenang, nikmati permainan dengan dada yang lapang demi kemajuan sukan negara.
*Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar