SHAH ALAM - Penganjuran Jualan Gudang Karangkraf 2023 mencetuskan semangat mencintai ilmu dan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata pengunjung terdiri daripada anak-anak muda terutamanya golongan mahasiswa yang mencari bahan bacaan sama ada novel, buku ilmiah dan ilmu agama.
Seorang mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Farah Syazana Ramlan, 24, berkata, karnival sebegini dapat menyuntik budaya membaca dalam kalangan generasi muda walaupun mereka lebih terdedah dengan media sosial dan teknologi.
"Saya datang ke sini kerana tertarik dengan tawaran diskaun yang ditawarkan. Memang saya tidak lepaskan peluang membeli buku pada harga yang sangat berbaloi.
"Ia sekaligus menarik minat masyarakat untuk memupuk semangat membaca dalam diri masing-masing,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Nur Annisa Kaiyisah Mohd Noor Azri, 18, berkata, Jualan Gudang Karangkraf 2023 itu memberi peluang untuknya menambah koleksi buku sedia ada.
Kata Nur Annisa Kaiyisah, dia sememangnya suka membaca dan mempunyai pelbagai jenis bahan bacaan di rumah.
"Saya suka datang ke jualan gudang kerana dapat membeli buku dengan harga murah. Kalau di kedai buku, RM100 mungkin hanya boleh membeli dua atau tiga bahan bacaan namun di sini kita dapat lebih banyak buku dengan jumlah wang yang sama.
"Lagipun saya mendapat sokongan daripada keluarga. Ibu tidak pernah menolak untuk datang ke Jualan Gudang Karangkraf sekiranya diajak. Dengan membeli pelbagai koleksi bahan bacaan, saya semakin minat untuk membaca,” jelasnya.
Nuralya Natasha Abdul Halim, 19, pula memberitahu, walaupun boleh mendapat bahan bacaan secara dalam talian secara mudah ketika ini namun ia berbeza apabila dapat memegang dan membaca buku yang sebenar.
"Kalau saya lebih suka baca buku betul berbanding dalam telefon bimbit. Rasa lebih dekat dan jelas apa yang ingin diketengahkan.
"Hari ini saya datang dengan kawan. Kami sudah rancang untuk beli buku berbeza dan berkongsi bahan bacaan tersebut,” ujarnya.