JOHOR BAHRU - Pelbagai program yang dirangka untuk pesalah muda di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di negeri ini bagi melibatkan mereka dalam aktiviti masyarakat.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Sopian Brahim berkata, program-program yang dirancang telah terbukti memberi impak kepada pelatih-pelatih.
Menurutnya, memang kajian daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun 2017 menunjukkan keberkesanannya lebih 95 peratus.
"Maknanya impak program itu 95 peratus. Kajian terperinci ini dibuat terhadap pelatih bukan secara sembrono," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih di Kg Melayu Sri Kempas 2 sempena program Sehari PKM Bersama Masyarakat, di sini semalam.
Menurutnya lagi, pengisian dibuat untuk menginsafkan pesalah muda yang diperintahkan melakukan khidmat masyarakat mengikut jam tertentu.
"Kita sebagai penyelia nak integrasikan anak-anak pelatih ini supaya mereka ambil bahagian dalam aktiviti masyarakat.
"Jadi, ini salah satu kaedah menginsafkan anak-anak kita. Program seumpama ini memberi manfaat kepada masyarakat dan mereka sendiri. Kalau mereka terkurung tidak ke mana, manfaat itu kurang sedikit," katanya.
Katanya, seramai 32 pelatih yang berumur 21 tahun ke bawah menyertai pelbagai aktiviti program Sehari PKM Bersama Masyarakat di Kg Melayu Sri Kempas 2 di bawah seliaan 10 pegawai JKM Johor.
"Macam tadi kita ada ceramah Ihya Ramadan sebagai pengisian program, jadi anak-anak boleh muhasabah diri. Kebetulan Ramadan jadi pengisianya lebih kepada kerohanian.
"Kita bersihkan dua rumah terpilih 'client' JKM dan bersihkan sekitar Surau al-Mabrur.
"Malah pelatih sendiri masak bubur lambuk dengan bimbingan orang dewasa," katanya.