KOTA BHARU - Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 menganggap hadiah rumah banglo bernilai RM428,500 daripada kerajaan Kelantan sebagai rezeki ulang tahun kelahiran yang terbesar buat dirinya.
Muhammad Qayyim Nizar Sarimi berkata, perkara itu tidak dijangkakan dan kebetulan menerima berita gembira tersebut pada hari dia menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-25 pada 7 September.
Katanya, perkara itu juga satu penghargaan yang tinggi diberikan kepadanya atas pencapaian menjulang nama Kelantan di pentas antarabangsa, sekali gus memberi dorongan kepada qari dan qariah yang lain untuk terus meraih kejayaan.
"Sebelum ini juga kerajaan negeri ini pernah menghadiahkan sebuah banglo kepada qari dan qariah dari Kelantan yang memenangi pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.
"Ini hadiah paling besar pernah saya terima sempena hari kelahiran dan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Muhammad Qayyim Nizar, dia turut menerima kejutan sambutan hari lahirnya di sebuah restoran di Pengkalan Chepa di sini, pada Khamis yang dirancang oleh ibunya, Rozan Mohamed, 50.
Anak sulung daripada enam beradik itu kini banyak memenuhi jemputan untuk membaca al-Quran di beberapa majlis dan masjid di negeri ini.
"Saya menerima jemputan untuk memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran di sekolah-sekolah, masjid dan majlis-majlis yang diadakan di Kelantan.
"Pada majlis-majlis itu, saya membaca menggunakan al-Quran Braille,” ujarnya yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Sementara itu, bapanya, Sarimi Yusoff, 58, berkata, hadiah rumah berkenaan akan membantu Muhammad Qayyim Nizar dalam persediaan masa depan untuk meneruskan kehidupan dan berdikari.
Katanya, mereka juga sedang merancang untuk menunaikan haji selepas peluang diperoleh pada tahun 2020 terbatal kerana pandemik Covid-19.
"Pemberian rumah ini tidak pernah difikirkan dan semuanya kurniaan daripada ALLAH. Sewaktu kami masih ada ini, kamilah yang bertanggungjawab menjaga dia, tetapi bagaimana jika kami sudah tiada nanti.
"Sementara kami masih ada ini juga, kami berhasrat untuk membawa dan menemaninya menunaikan ibadah haji pada tahun depan,” katanya.
Pada Khamis, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan pemberian hadiah itu sebelum mengakhiri ucapan pada Majlis Amanat Menteri Besar Kelantan yang berlangsung di Kota Darulnaim di sini.