Melaka sedia insentif kepada penerbangan komersial operasi di LTAM

Iklan
LTAM didakwa tidak lagi menerima kemasukan penerbangan domestik dan luar negara.
MELAKA - Tiada petunjuk positif daripada syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa serta kurang permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan udara dalam kalangan pengguna di Melaka, antara faktor syarikat penerbangan menghentikan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, justeru, kerajaan negeri bersedia menawarkan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan komersial yang ingin beroperasi di LTAM.

"Jadi, mereka terpaksa hentikan penerbangan. Kita (kerajaan negeri) akan cuba sediakan insentif memandangkan kehadiran pelancong dijangka bertambah bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 nanti," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu pada Program Dialog 1.30 di MELAKAfm, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) di sini pada Jumaat.

Hameed Mytheen berkata, antara usaha lain yang dilakukan kerajaan negeri untuk menghidupkan LTAM adalah menerusi penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) dari 29 Sept hingga 1 Oktober ini.

"Setakat ini, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa dari Australia, Rusia, Thailand dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan di samping agensi tempatan seperti tentera, polis dan bomba," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kekecewaan orang ramai terutama pemain industri pelancongan di Melaka apabila LTAM menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan lepas, dengan kali terakhir penerbangan ke Pulau Pinang adalah pada Jun manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos. - Bernama