PUCHONG - Lima individu diberkas susulan kes seorang lelaki yang disyaki dibunuh sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah kereta di Batu 14, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berkaitan penemuan mayat mangsa kira-kira jam 12.55 pagi.
Menurut beliau, mayat ditemui dalam sebuah kereta yang berkunci di tepi jalan.
"Mayat ditemui di bahagian tempat duduk belakang kereta dan bertutup dengan sehelai jaket.
"Hasil siasatan lanjut mendapati kes ini berkaitan satu laporan polis bersabit Bukit Jalil 8063/23 yang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, satu kertas siasatan kemudian dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Hasil maklumat kemudian membawa kepada tangkapan lima lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 33 tahun yang kemudiannya direman empat hari bagi siasatan lanjut.
"Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau," katanya.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan mangsa berusia 26 tahun itu dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakannya ketika berada di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil, di sini, pada jam 5 pagi, Isnin.
"Bapa mangsa mengetahui tentang anaknya dilarikan selepas dimaklumkan oleh teman wanita anaknya," katanya.