Program Penulis Cilik asah bakat muda berkarya

Iklan
Peserta dan guru pengiring serta tenaga pengajar bergambar bersama Mohamad Nuri (duduk tengah) selepas program berakhir.

SHAH ALAM - Program Penulis Cilik anjuran Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Selangor sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari menerima sambutan yang baik.

Malah program kendalian penulis buku, Amir Sabri itu juga mampu membina minat peserta bukan sahaja menulis cerpen tetapi menulis apa juga bentuk penulisan karya pada masa-masa akan datang.

Iklan
Iklan

Seorang peserta, Adam Muzaffar Mohd Sharenliza, 15, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk mendengar dan mengambil tempat dalam program berkenaan kerana minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan.

"Saya suka program ini dan terima kasih kepada pengajar juga kerana telah merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang penulis," kata pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya itu.

Iklan

Rakannya, Muhammad Irfan Najmi Shamil, 15, pula berkata, dia tidak pernah mengikuti program penulisan ketika berada di sekolah rendah kerana tidak mengetahui bakat yang ada dalam dirinya.

"Namun ketika di sekolah menengah saya dapati minat saya cenderung dalam bidang penulisan dan saya melihat ruang serta peluang untuk pelajar menulis secara lebih teratur dan lebih baik adalah menerusi program seperti ini," katanya.

Iklan

Pandangan sama turut dikongsi, Sufiyyah Humairah Dzulikram, 12, dari Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, apabila mendapati program berkenaan dapat menarik minatnya dalam bidang penulisan.

"Seronok dan teruja kerana saya tidak pernah menyertai program seperti ini dan ia dapat menarik minat saya untuk terus belajar menjadi seorang penulis yang baik pada masa akan datang," katanya.

Program yang bermula jam 9 pagi sebelum berakhir pada jam 1 tengah hari itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah SSTP Jabatan Pendidikan Selangor, Mohamad Nuri Hussin yang kemudiannya menyampaikan cenderahati kepada peserta.