P. Ramlee Sabah meninggal dunia

Iklan
Allahyarham. Foto Facebook Fairuz Misran Official

P. RAMLEE Sabah atau nama sebenarnya Fairuz Misran disahkan meninggal dunia di Labuan pada Jumaat.

Berita duka itu dikongsikan oleh abangnya, Ruzaidi melalui Facebooknya sebagai makluman kepada rakan dan ahli keluarga.

Iklan
Iklan

"Innalillahiwainnailaihirojiun... Menerima perkhabaran sedih bahawa adik yang disayangi Fairuz Misran telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi.

"Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah," tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Iklan

Difahamkan, jenazah Fairuz masih berada berada di Hospital Labuan.

Sementara itu, menurut satu perkongsian di Facebook adiknya, Sazlieyanti memaklumkan bahawa Allahyarham mengalami sakit dada dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital.

Iklan

Menurut Sazlieyanti, ramai yang menghubunginya untuk mengetahui punca abangnya itu meninggal dunia.

Bagaimanapun, Sazlieyanti berkata, urusan pengebumian belum lagi dimuktamadkan oleh ahli keluarga setakat ini.

"Sekarang masih di Labuan dan masih dalam perbincangan antara keluarga sama ada mahu dikebumikan di Labuan (tempat isteri) atau di Kimanis, Papar (kampung arwah).

"Jadi saya sudah menjawab smua soalan kamu. Semoga segala urusan kebumian arwah dipermudahkan. Terima kasih juga untuk semua yang tidak berhenti mendoakan beliau dan sedekahkan al-Fatihah," katanya.

Fairuz, 38, merupakan seorang penyanyi yang mempunyai suara dan wajah seakan seniman agung Tan Sri P Ramlee pada era kini.

Allahyarham merupakan juara bintang P Ramlee peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) pada 2012 dan sejak itu bakat beliau mula menyinar.

Allahyarham turut dikenali di Sabah kerana bakat dan suaranya yang unik.