BAITULMAQDIS - PALESTIN. Kementerian Pendidikan Palestin pada Jumaat mengumumkan bahawa Rana Ziada antara 50 finalis dari seluruh dunia yang berpeluang memenangi Anugerah Guru Global 2019.
Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, Rana berdepan pelbagai cabaran dalam kerjayanya termasuk dipotong separuh gaji oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Iklan
Iklan
Wanita cekal ini juga mengajar di sekolah serba daif yang sering menjadi sasaran Israel.
Bukan itu sahaja, Rana yang menjadi guru sejak 2004 terpaksa berdepan realiti pahit apabila berpuluh anak muridnya terbunuh dalam serangan ganas Zionis.
Pihak kementerian berharap guru mengajar subjek matematik itu mampu mengulangi kejayaan seorang lagi guru Palestin dari Tebing Barat, Hanan Al-Haroub yang memenangi anugerah sama pada 2016.
Pemenang akan diumumkan pada Forum Pendidikan dan Kemahiran Global di Dubai pada 24 Mac depan.
Anugerah Guru Global adalah satu pengiktirafan kepada guru di seluruh dunia yang dianjurkan Yayasan Varkey, dengan menawarkan wang tunai bernilai AS$1 juta (RM4.1 juta) kepada pemenangnya. - Agensi