UMAT Islam di seluruh dunia meraikan kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan. Selain beribadah, penduduk Islam di beberapa negara turut mempunyai tradisi unik ketika Ramadan. Berikut adalah tradisi yang diamalkan di beberapa negara.
1. Qarqia’an
Ramadan di Kuwait dimeriahkan dengan kunjungan kanak-kanak bersama keluarga mereka yang mengenakan pakaian tradisional unik. Tuan rumah menyediakan gula-gula dan coklat dalam jumlah yang banyak untuk diberikan kepada kanak-kanak. Tradisi ini biasanya diamalkan di seluruh rantau Arab, namun waktu acara ini berlangsung adalah berbeza di setiap negara. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), tradisi ini dikenali sebagai Haq Laila dan disambut dua minggu sebelum Ramadan.
2. Meriam Yellow Bastion
Di Sarajevo, Bosnia Herzegovina biasanya dimeriahkan dengan tembakan meriam sebelum menunggu waktu berbuka puasa. Tradisi ini telah dilakukan sejak berabad lalu dan masyarakat akan berkumpul di lokasi digelar Yellow Bastion yang merupakan bangunan pertahanan ketika Empayar Uthmaniyyah pada abad ke-18. Meriam dianggap membawa keharmonian kepada masyarakat Sarejevo termasuk orang bukan Islam. Bunyi dentuman meriam itu turut disambut dengan sorakan gembira. Ketika berkumpul, ada juga penduduk yang membawa makanan tradisional seperti Somun iaitu sejenis roti dan air lemon.
3. Kunafa
Di Palestin, kunafa menjadi hidangan wajib setiap kali pada bulan Ramadan. Ia diperbuat daripada tepung suji dicampurkan dengan keju panas yang kemudiannya dijirus dengan sirap gula. Ia biasanya dihidangkan ketika sahur dan berbuka. Penduduk Palestin percaya makanan ini berasal dari Kota Nablus dan turut menjadi menu sepanjang tahun.
4. Fanous
Fanous merupakan lampu lantera pelbagai warna dan unik di Mesir. Lampu tersebut mempunyai ikatan kuat dengan Ramadan kerana masyarakat percaya dengan nilai rohani yang terdapat pada fanous. Di Kaherah, seluruh bandar diterangi lampu berwarna-warni tersebut malah peniaga turut menghiasi ruang hadapan kedai mereka dengan fanous untuk menarik pembeli.
5. Mesaharaty
Hampir setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk mengejut penduduk bangun sahur. Di Jordan dan Turki, tradisi bangun sahur biasanya dilakukan oleh Mesaharaty terdiri daripada penduduk tempatan. Mereka akan berjalan dan memanggil penduduk bangun sahur. Mesaharaty juga akan membawa alat muzik sambil memanggil nama wakil keluarga yang dikenalinya.
6. Mheibes
Di Iraq, aktiviti Mheibes dilakukan setiap kali selepas berbuka puasa. Terdapat dua kumpulan terdiri daripada 40 hingga 250 pemain. Setiap pemain kemudiannya akan meneka siapa dalam kalangan ahli kumpulannya yang menyembunyikan cincin dalam tangan mereka. Permainan ketika Ramadan itu telah diturunkan daripada generasi ke generasi.
7. Chaand Raat
Kebanyakan golongan wanita di India, Pakistan dan Bangladesh melakukan tradisi Chaand Raat atau memakai inai pada akhir Ramadan. Ketika itu, ramai wanita akan keluar membeli-belah dan mereka akan mengambil kesempatan untuk melukis inai di tangan serta kaki. Selain tradisi itu, wanita juga akan saling bertukar makanan manis.
Sumber: Kompas.com