BUKIT MERTAJAM - Hilang pendapatan selepas suami yang merupakan seorang penunggang p-hailing Food Panda meninggal dunia selepas kemalangan, benar-benar memberi kesan kepada suri rumah.
Nur Ammera Atan, 32, yang mempunyai empat orang anak berusia sembilan bulan hingga 14 tahun, membuatkan dirinya sukar keluar mencari pekerjaan demi menyara keluarganya.
Bagaimanapun, beban ditanggung Nur Ammera mendapat pembelaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang tampil menyerahkan surat pembayaran pencen penakat kerana arwah suaminya Muhamad Firdaus Rosli, 36, merupakan pencarum Perkeso.
Menurut Nur Ammera, dia bersyukur pencen kerana penakat sebanyak RM1,395 setiap bulan, dapat membantunya menguruskan perbelanjaan keluarga kerana selama ini hanya arwah suaminya yang menanggung perbelanjaan mereka.
"Arwah menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam sebelum meninggal dunia pada 30 Ogos lepas dan selepas itu saya buntu kerana tidak tahu apa perlu dibuat dengan anak kecil manakala ayah saya sendiri sedang sakit dan memerlukan penjagaan rapi," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Machang Bubok, di sini pada Jumaat.
Nur Ammera ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Chiam Hong Lan yang menyampaikan serahan pencen penakat dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000.
Sementara itu, Faizah Abdullah, 59, ibu kepada Allahyarham Muhamad Firdaus berkata, anak sulung daripada empat beradik itu meninggal dunia selepas 28 hari menerima rawatan di hospital.
"Selepas kemalangan dengan sebuah motosikal, keadaannya memang tidak lagi seperti biasa kerana tidak boleh bercakap dan bergerak namun dia masih memberi respon jika dipanggil, dua hari sebelum meninggal dunia, doktor maklumkan akan benarkan arwah pulang ke rumah.
"Kami telah buat persiapan termasuk beli katil untuk pesakit namun tiba-tiba jantungnya terhenti sebelum kembali bernafas dan doktor maklumkan terdapat jangkitan pada paru-paru serta buah pinggang telah rosak dan gagal diselamatkan," katanya. - Bernama