Peniaga mengeluh telur susah dapat

Iklan
Tinjauan di sebuah pasar raya yang mengehadkan tiga sarang telur setiap seorang

TEMERLOH - Selepas beras tempatan, bekalan telur di daerah ini pula didakwa sukar diperoleh sejak beberapa bulan lalu.

Beberapa peniaga di sekitar Mentakab di sini mendakwa, mereka hanya mendapat bekalan telur dalam jumlah terhad untuk dijual di premis masing-masing.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga kedai runcit, Woon Ah Kau, 71, memberitahu, dia hanya mendapat 10 sarang maksimum berbanding tiada had sebelum ini.

"Jadi saya hanya dapat jual pada pelanggan tetap, kalau ada lebih baru dijual kepada orang lain," kata warga emas itu yang telah membuka kedai tersebut sejak 1986.

Iklan
Telur yang licin terjual menjadi tumpuan pengguna.

Seorang pekerja kedai runcit, V Vishnu, 20, memberitahu turut berdepan situasi sama apabila hanya mendapat bekalan dalam jumlah terhad.

"Selalu dapat dalam seminggu, 10 hingga 20 sarang dan kami menjual telur gred A di sini.

Iklan

"Memang pelanggan mengadu, tapi nak buat macam mana pembekal pun bagi alasan telur susah nak dapat," kata pemuda tersebut.

Sementara itu tinjauan di sebuah pasar raya di sini, seorang pekerja yang enggan dikenali memberitahu telur cepat terjual dan menjadi tumpuan pengguna.

"Kalau lambat datang, memang cepat habis dan pembelian dihadkan tiga sarang setiap seorang," ujar pekerja terbabit.