SHAH ALAM - Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 3 Bandar Kinrara, Selangor tampil menyerlah dengan menggayakan persalinan baju kurung bersama aksesori dalam Pertandingan Pidato Alam Sekitar sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat.
Damia Nafisah Mohd Emran, 14, berkata, pemilihan baju kurung dan aksesori seperti gertak sanggul dan rantai pada pertandingan itu adalah inisiatif sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.
Pelajar Tingkatan Dua itu turut menjelaskan sudah sedia maklum bahawa tiada pemarkahan daripada aspek pemakaian yang akan diambil kira oleh juri, namun tetap ingin memakainya.
"Saya ada maklumkan pada guru untuk pakai baju kurung dan mahu tampil berbeza dari pelajar lain yang hanya beruniform sekolah walaupun tahu tiada markah yang akan diberi.
"Guru menyokong dan memenuhi permintaan saya dengan meminjam aksesori ini daripada pihak sekolah.
"Tujuan saya ialah untuk menaikkan semangat ketika pertandingan kerana tampil berbeza,” katanya selepas pertandingan itu di Studio My #QuranTime (MQT) pada Jumaat.
Tambah Damia Nafisah, walaupun tidak berjaya mendapatkan sebarang tempat dan hadiah, ia bukan penghalang buatnya untuk terus menyertai pertandingan pidato pada masa akan datang.
"Saya anggap ini sebagai pengalaman baharu dan akan memperbaiki kelemahan diri.
"Ia bukan penyebab saya perlu berhenti daripada terus mencuba. Mungkin pada masa akan datang saya pula yang menang,” ujarnya.
Pada pertandingan itu, pelajar dari SMK Seksyen 7, Wan Nur Marhanna Meor Mohd Shahril dinobat sebagai juara yang menyaksikan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM400 tajaan KDEB Waste Management (KDEBWM).
Karnival Pendidikan Sinar Bestari membuka tirainya hari ini dengan pelbagai acara menarik seawal jam 8.30 pagi hingga 7 malam nanti.
Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini, sehingga Ahad ini.
Ia diadakan serentak bersama SinarPlus Makan Fest dan Jualan Gudang Karangkraf.