KUALA LUMPUR - Kemeriahan hujung minggu pertama bulan Ramadan di ibu negara kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini apabila kawasan Dataran Merdeka ibarat menjadi ‘one stop centre’ buat warga kota.
Penganjuran Iftar@Kuala Lumpur yang sudah masuk tahun ke 8 ini terus menjadi tumpuan warga kota, dan keberadaan Bazar Ramadan Jalan Raja kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mampu memberi nilai tambah buat pengunjung.
Deretan kendera saji yang beroperasi juga membuatkan aktiviti di situ lebih ‘hidup’ sekali gus memberi pilihan kepada pengunjung kerana pada hari-hari biasa, tiada operasi jualan juadah di tapak berkenaan.
Salah seorang pengunjung, Bayta Begum Ali Baginda, 43 berkata, setiap tahun dia sekeluarga akan mengambil kesempatan menyertai Iftar @ Kuala Lumpur.
"Dengan adanya Bazar Ramadan Jalan Raja memberi kemudahan untuk mencari persiapan Aidilfitri.
"Kawasan ini luas dan selesa. Untuk hari minggu di sini lebih meriah. Selepas atau sebelum berbuka boleh tengok keperluan raya,” katanya.
Bagi Mohamad Fitri Mohd Zahir, 27 dari Sri Gombak, sudah menjadi rutin setiap hujung minggu dia bersama keluarganya akan ke Dataran Merdeka menyertai Iftar@Kuala Lumpur jika cuaca mengizinkan.
"Saya teruja dengan imej baru Bazar Ramadan Jalan Raja yang lebih teratur.
"Mungkin untuk peringkat awal ramai yang dah biasa dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tapi pada saya di sini lebih baik, luas dan ada kawasan lapang jadi ada ruang untuk golongan bapa tunggu bersama anak-anak sementara ibu cari keperluan misalnya,” katanya.
Iftar@Kuala Lumpur diadakan di hadapan Bangunan Panggung Bandaraya DBKL setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu diadakan bagi menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati suasana Ramadan di ibu negara.
Beberapa aktiviti turut dijalankan termasuk penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, Tadarus al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, jualan kendera saji, kaunter zakat, bicara Ramadan dan moreh.
Sementara itu, peniaga Mohd Zaidi Mohd Noor, 45, berkata untuk minggu pertama beroperasi, dia masih berharap jumlah pengunjung akan terus bertambah.
"Sekarang ini ramai pun selepas jam 8 malam. Disebabkan ini tahun pertama di sini jadi kena sabar sikit. Sebelum ini di tapak lama, pengunjung ada banyak pilihan untuk ke tempat lain juga,” katanya.
Bagi Muhammad Afzal Ali Amjat Ali,16 dia membantu bapa yang sebelum ini telah beroperasi di tapak lama selama 10 tahun dan mengakui lokasi baharu pada tahun ini kurang sambutan ketika minggu pertama berbanding ketika di tapak lama.
"Sekarang ini memang harapkan pengunjung pada waktu malam.
"Biasanya setiap minggu dah boleh sasar jumlah jualan. Minggu pertama dah boleh dapat RM6,000 tetapi kali ini RM1,000 pun tak dapat,” katanya.