Terap ABC untuk bina karakter, disiplin pelajar

Iklan
Fadhlina pada sidang media Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Pendidikan pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

SHAH ALAM - Gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) menjadi komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan pembinaan karakter yang berkait rapat dengan disiplin, adab dan kesopanan golongan pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, konteks gagasan itu sangat penting untuk diterapkan ekoran banyak laporan mengenai kebejatan sosial dalam kalangan murid dan pelajar sekolah diterima kementerian itu.

Iklan
Iklan

"Sebab itu apabila disebut mengenai ABC, ia membawa kita kepada suatu konteks lebih besar iaitu pembinaan karakter yang sebenarnya sangat diperlukan apabila membicarakan soal berhadapan dengan generasi hari ini, khususnya menangani isu adab dan memperkukuh akhlak.

"Untuk penghayatan itu sahaja memerlukan komitmen tinggi, apatah lagi nilai itu mesti diterapkan dari segi penghayatannya," katanya ketika program Town Hall Rakyat Bersama Fadhlina Sidek sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Iklan

Program itu dikendalikan hos, Samuel Isaiah yang juga penerima Top 10 Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Dalam pada itu Fadhlina berkata, gagasan ABC memberi keadilan kepada pelajar ekoran sikap yang baik akan dinilai terlebih dahulu berbanding kecerdikan dan kepintaran.

Iklan

Sehubungan itu beliau menegaskan, menjadi harapan kementerian untuk melihat pelajar yang tamat pembelajaran di sekolah menjadi manusia yang lebih baik supaya dapat memberi manfaat kepada orang lain.

"(Sikap) Baik sebenarnya daripada konteks yang diambil dari khazanah bangsa yang mana kita sentiasa memikirkan ketinggian akal budi dan aspek rukun negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

"Kita mesti pastikan bahawa ia sentiasa berada dalam konteks rukun negara dan falsafah pendidikan negara.

"Satu lagi perkara adalah tentang pembangunan anak-anak yang dilihat secara holistik, ia tidak tersudut dari segi akademik tetapi mesti melihat dari sisi lain seperti pembangunan potensi, bakat dan sebagainya," ujarnya.