Perak perbanyak inisiatif rentas portfolio

Iklan
Saarani (empat dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program E-Juwita Negeri Perak di Dewan Orang Ramai Kampung Raban pada Jumaat.

LENGGONG - Kerajaan negeri Perak akan memperbanyakkan inisiatif rentas portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Program E-Juwita antara inisiatif yang dilaksanakan melibatkan jalinan kerjasama di antara portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan portfolio Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Iklan
Iklan

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan untuk membangunkan usahawan wanita dalam bidang digital melibatkan penggunaan 24 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) oleh seramai 720 orang usahawan terpilih.

"Program merentas portfolio penting kerana saling memerlukan antara satu sama lain. Portfolio usahawan berusaha mendigitalkan usahawan tetapi digital perlukan internet sebab itu kita dapatkan sokongan daripada portfolio komunikasi dan multimedia, jadi kedua-duanya bergabung.

Iklan

"Ini amat sinonim dengan pelan Perak Sejahtera 2030 berkaitan ekonomi digital. Kita tak boleh tunggu lama kalau gagal menguasai digital mereka akan ketinggalan jauh," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program E-Juwita Negeri Perak di Dewan Orang Ramai Kampung Raban di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed serta Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata, selepas ini portfolio di bawahnya akan bekerjasama dengan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, kerjasama tersebut akan melibatkan inisiatif memastikan kesalinghubungan kawasan-kawasan pelancongan di negeri ini.

Jelasnya, satu jawatankuasa kecil telah ditubuhkan bagi menambah baik perhubungan dan liputan talian di tempat-tempat tumpuan pelancong di negeri ini.