Tingkat kualiti guru guna teknologi, inovasi dalam pengajaran

Iklan
Kira-kira 70 guru dari seluruh Selangor menyertai Program Apple Teacher pada Jumaat.

SHAH ALAM - Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Selangor melaksanakan Program Apple Teacher kepada kira-kira 70 guru dari seluruh Selangor pada Jumaat.

Program yang berlangsung sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf itu bertujuan membudayakan penggunaan teknologi dan inovasi dalam pengajaran dengan menggunakan peralatan Apple serta menggalakkan guru-guru untuk mendapat pengiktirafan Apple Distiungished Educator (ADE).

Iklan
Iklan

Seorang peserta, As'ad Che Cob ketika ditemui Sinar Harian berkata, program itu bukan sahaja memberikan pendedahan cara penggunaan Ipad, tetapi banyak ilmu dapat diserapkan untuk dikongsi dengan pelajar.

As'ad

"Peserta didedahkan cara menggunakan Ipad dan bagaimana kita hendak membuat e-comic, berkenaan key note dan bagaimana kita boleh membuat satu komik menggunakan key note dan Ipad itu sahaja," kata guru dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 18 itu.

Iklan

Seorang lagi peserta, Mohd Syamin Ismail Mohd Sabari berkata, banyak pengetahuan diperoleh dalam program tersebut untuk diaplikasikan kepada pelajar di sekolahnya dengan lebih berkesan.

Mohd Syamin Ismail

"Peserta didedahkan dengan pelbagai aplikasi yang baharu namun sebenarnya ia sudah ada dalam Ipad cuma kita tidak pernah gunakan.

Iklan

"Selepas ini ia akan dapat diaplikasikan dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) untuk menarik lagi minat pelajar agar bahan kita itu menjadi lebih interaktif dan menarik," katanya.

Sementara itu, peserta dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Tuan Mee, Sri Prakash pula berkata, program berkenaan agak singkat namun diisi dengan banyak maklumat dan ia perlu kerap diadakan.

"Apa yang saya timba hari ini akan digunakan sebaik mungkin untuk dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang membuka tirainya hari ini menyediakan pelbagai acara menarik bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

Penganjuran karnival selama tiga hari dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) itu menghimpunkan 100 pempamer dan lebih 50 aktiviti disediakan kepada pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini, sehingga Ahad ini.