Sanusi titip pesanan buat pelajar Kedah di Mesir

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) bergambar di hadapan bangunan asrama anak Kedah di Mesir. - Foto FB Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Anak-anak Kedah yang menyambung pengajian di Mesir diingatkan agar melakukan pembaharuan dalam budaya pembelajaran selain memanfaatkan peluang menimba ilmu sebaik mungkin dengan membawa pulang segulung ijazah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menitipkan pesanan itu ketika mengadakan lawatan ke asrama pelajar Kedah di Kaherah, Mesir.

Iklan
Iklan

Beliau turut menasihati pelajar agar menamatkan pengajian pada masa ditetapkan supaya kos pengajian tidak meningkat lebih tinggi.

"Kalau tak berubah, kita perlu keluarkan belanja lagi untuk baiki bagi generasi akan datang. Jadi mohon gunakan harta kerajaan dengan baik walaupun sebesar zarah. Saya minta anak-anak perbaharui budaya mengaji di sini, perlu pembaharuan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Eratkan Tautan 2023 Menteri Besar Kedah, delegasi kerajaan negeri bersama anak-anak Kedah di Mesir serta ulang tahun ke-55 Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

Muhammad Sanusi turut menasihatkan pelajar agar memupuk amalan kebersihan, amanah dalam menggunakan harta kerajaan selain menggunakan sumber kewangan dengan bijak.

Iklan

"Amalkan sikap menjaga bangunan asrama sebaiknya, banyak perbelanjaan kerajaan negeri perlu sediakan untuk pastikan tiga buah asrama dalam keadaan selesa. Ia antara komitmen bersama LZNK dan rakan strategik untuk sediakan kediaman kondusif,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya tidak berpuas hati dengan persekitaran asrama yang disifatkan tidak sesuai untuk proses pembelajaran.

Muhammad Sanusi (kanan) ketika meninjau bilik asrama yang akan dibaik pulih dalam masa terdekat. - Foto FB Muhammad Sanusi Md Nor

"Saya tak puas hati tengok keadaan tidak teratur, asrama sempit dipenuhi barangan terpakai, kebersihan tidak dijaga, budaya itu perlu dikikis. Perlu susun elok-elok supaya dapat tampung ramai penghuni.

"Terapkan dan amalkan budaya 5S, konsep pengurusan dalam bahasa Jepun yang membawa maksud; kerapian dan penyusunan, teratur, kebersihan, piawaian dalam pengawalan dan pengemasan serta berdisiplin,” jelasnya.

Muhammad Sanusi juga menekankan agar kualiti sebagai graduan Universiti Al-Azhar dari Mesir seimbang dalam sahsiah dan akademik.

"Kita mahu dua-dua aspek itu cemerlang sebab itulah kita hantar ke Mesir, kalau kualiti sama dengan kualiti graduan dalam negara, baik mengaji di Unisham sahaja sebab ramai graduan hebat dari sana.

"Saya pesan ikhlas dari hati, belajar bersungguh-sungguh, ubah budaya kehidupan ke arah positif, jaga kebersihan persekitaran, gunakan sumber sebaiknya. Hargai setiap sen dibelanjakan LZNK dan negeri agar usaha kami membuahkan hasil. Ingatlah, kita akan dipersoalkan di akhirat apabila guna duit zakat kelak,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga pelajar juga diingatkan agar tidak mendesak anak-anak mereka untuk pulang setiap tahun sebelum menamatkan pengajian kerana kos tambang pergi balik agak tinggi mencecah RM10,000 bagi setiap pelajar.

"Jangan balik tiap tahun, tambang mahal. Kalau kerap balik setiap kali cuti, campur duit tambang melebihi duit ditaja LZNK. Kenduri kahwin balik, musim buah balik, kalau rindu boleh buat video call hari-hari, bukan macam dulu kena tulis surat.

Muhammad Sanusi (kanan) meninjau asrama lelaki yang menempatkan anak Kedah di Mesir. - Foto FB Muhammad Sanusi Md Nor

"Bumi Mesir luas ziarahlah banyak tempat dan cari pengalaman, kalau ada duit lebih pergi ke United Kingdom kutip epal, itu cara tambah ilmu dengan jauhnya perjalanan,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap pelajar tidak melupai kesusahan ibu bapa yang bertungkus lumus mencari sumber kewangan agar mereka dapat meneruskan pengajian di Mesir.

"Ingatlah keperitan mak ayah di kampung, jangan kecewakan ramai orang, jangan ada anak-anak yang lupakan kesusahan keluarga di kampung untuk sara anda semua belajar di sini.

"Jangan sia siakan duit zakat yang menaja pengajian dan habiskan pengajian dalam tempoh ditetapkan,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat 200 graduan Kedah dari Mesir setiap tahun dan sehingga kini telah melahirkan lebih 11,000 anak Kedah keluaran Al-Azhar sejak 55 tahun lalu.