Perikanan sita 7 bot pukat tunda bernilai RM6.5 juta

Iklan
Antara bot pukat tunda yang ditahan menerusi program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan Vesel Menangkap Ikan di Pantai Barat Siri 3/2023.

IPOH - Jabatan Perikanan Perak menahan tujuh bot pukat tunda kerana melanggar Akta Perikanan 1985 menerusi program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan Vesel Menangkap Ikan di Pantai Barat Siri 3/2023 selama lima hari sehingga 8 September.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, pukat tunda yang disita melibatkan pelbagai kesalahan itu terdiri daripada sebuah bot pukat tunda kelas B1 dan enam bot pukat tunda kelas C melibatkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6.5 juta.

Iklan
Iklan

Katanya, 29 kru warganegara Myanmar serta seorang warga tempatan turut ditahan.

Menurutnya, kesemua bot pukat tunda itu ditahan kurang dari 8 dan 15 batu nautika dari perairan Sabak Bernam, Selangor sepanjang program berlangsung sejak 4 September lalu.

Iklan

"Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah menangkap ikan kurang dari 8 batu nautika dan 15 batu nautika mengikut zon, menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan, mata keroncong pukat tunda kurang dari 38mm.

"Selain itu kesalahan tidak mengaktifkan VMS (Sistem Pemantauan Vesel) semasa ditahan, memasang alat perhubungan di atas vesel penangkapan ikan tanpa kelulusan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan menambah struktur tangki minyak di bahagian kemudi turut dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Ghazali (berdiri, tiga dari kiri) meninjau bot pukat tarik tunda yang disita Jabatan Perikanan Perak menerusi program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan Vesel Menangkap Ikan di Pantai Barat Siri 3/2023 .

Iklan

Mohd Ghazali berkata, program tersebut dilaksanakan oleh Unit Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) Kampung Acheh dengan kerjasama daripada Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan Putrajaya dan dan Unit MCS Pulau Pinang dengan kekuatan anggota seramai 21 orang melibatkan sebanyak tiga aset laut.

Jelasnya, kesemua bot pukat tunda yang ditahan dibawa ke Pangkalan MCS Kampung Acheh, Lumut untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau menegaskan pihaknya memandang serius berkaitan isu dan kesalahan melibatkan pelanggaran Akta Perikanan 1985.

"Pihak Jabatan Perikanan akan terus mempergiatkan aktiviti rondaan bagi memastikan sumber protein negara terjaga dan terpelihara sehingga ke generasi akan datang," katanya.