Dokumen kajian separuh penggal RMKe-12 diserah kepada PM

Iklan
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menyerahkan dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat Perdana Menteri pada Jumaat. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menyerahkan dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.

Sesi serahan dokumen itu merupakan simbol sempurnanya sesi penyediaan dokumen KSP RMKe-12 sebelum dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada 11 September 2023, kata kementerian itu di laman sosial Facebook pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Penyediaan dokumen ini telah mengambil masa hampir setahun untuk diselesaikan dan melibatkan penyertaan semua pemegang taruh yang terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, badan antarabangsa, ahli-ahli akademik, badan pertubuhan sivil dan orang awam,” katanya.

KSP RMKe-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni.

Iklan

Dokumen itu juga disediakan beraspirasikan kepada wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Hadir sama pada sesi serahan dokumen tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, Ketua Setiausaha, Datuk Nor Azmie Diron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr Zunika Mohamed.

Iklan

Kajian Separuh Penggal RMKe-12 dari 2021-2025 disediakan bagi mengukur pencapaian sasaran untuk tempoh dua tahun pertama serta menghadapi cabaran-cabaran getir yang menjejaskan aspirasi RMKe-12.

Penyediaan KSP RMKe-12 akan merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi mencapai matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan. - Bernama